Sebab Itu Kami Panggil Mereka PAN, Kata PAS


KUALA LUMPUR - Hasrat Parti Amanah Negara (PAN) yang mahu bertanding di 40 kerusi Parlimen milik PKR dan Pas pada PRU14 membuktikan parti itu tidak mempunyai sifat amanah.

Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata demikian ketika dalam sidang media di Ibu Pejabat Pas Pusat di Jalan Raja Laut di sini, semalam.

“Sebab itu kami tidak panggil mereka (parti PAN) dengan Amanah, kami panggil mereka PAN,” katanya sinis.

Semalam, Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad berkata, parti itu mahu bertanding di 40 kerusi Parlimen, termasuk milik PKR dan Pas pada PRU depan.

Khalid berkata, pemilikan kerusi tradisi yang dipertahankan sesama parti pembangkang tidak lagi relevan dengan senario politik hari ini.

Menurut Iskandar, sekiranya PAN menghormati sekutunya dalam Pakatan Harapan, parti itu tidak akan sesekali akan menyatakan hasrat untuk merampas dan mencuri kerusi milik sekutunya, PKR.

“Saya baca kenyataan semalam PAN hendak bertanding 40 kerusi termasuk milik Pas dan PKR, dengan sendirinya menunjukkan sikap sebenar PAN.

“Mereka bersama dalam Pakatan Harapan, tapi nak curi kerusi PKR. Ini bermakna benarlah segala apa yang kami cakap sebelum ini tentang PAN,” katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com