Safiq Tak Menolak Kemungkinan Kembali Sarung Jersi Harimau Malaysia


PETALING JAYA - Perancang utama pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang juga bekas kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim tidak menolak kemungkinan untuk kembali beraksi bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Namun buat masa ini, beliau mahu fokus untuk persediaan menghadapi cabaran sengit musim 2017 bersama skuad Harimau Selatan itu, yang memburu kejuaraan Liga Super buat kali empat berturut-turut.

"Saya tidak menolak kemungkinan untuk kembali bersama skuad Harimau Malaysia tetapi apa yang penting sekarang ialah fokus kepada pasukan JDT dulu," katanya kepada pemberita selepas memenangi Anugerah Pemain Tengah Terbaik sempena Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2016 di sini, malam Sabtu.

Ini merupakan kali keempat pemain berusia 29 tahun itu memenangi gelaran tersebut selepas 2011, 2012 dan 2015.

Arena bola sepak negara dikejutkan pada Julai lepas dengan berita persaraan Safiq bersama tiga tonggak utama skuad kebangsaan iaitu pemain pertahanan Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Kunanlan dan Mohd Amirulhadi Zainal dengan alasan untuk memberi peluang kepada pemain muda.

Bagi musim 2017, Safiq memasang impian membantu juara Piala AFC 2015 itu melakar sejarah menjadi pasukan pertama negara layak beraksi di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) tahun depan.

"Ia merupakan sasaran peribadi saya untuk beraksi di ACL sebelum saya bersara sebagai pemain. Saya rasa memang semua pemain dan peminat JDT mahukan kita ke tahap yang lebih tinggi.

"Saya berharap kali ini kita akan dapat keputusan yang positif ...tidak mustahil untuk kita beraksi di ACL," katanya.

Beliau berharap kehadiran Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Bernilai ABK 2016, Ahmad Hazwan Bakri dan dua rakan pasukannya dari Selangor, Mohd Azrif Nasrulhaq dan Muhammad Nazmi Faiz Mansor serta pemain sayap T-Team, Muhammad Safawi Rasid dapat membantu merealisasikan hasrat berkenaan. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com