RM30,000 Bantuan Persekolahan Di Setiap Dun Di Kedah


ALOR SETAR - Kerajaan Kedah memperuntukkan sehingga RM30,000 sebagai bantuan persekolahan bagi setiap Dun di seluruh negeri berkenaan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kesemua Dun di bawah BN akan menerima secara terus peruntukan itu untuk diberi kepada keluarga terpilih, manakala bantuan akan disalurkan menerusi penyelaras Dun di kawasan bukan ditadbir BN.

"Ini usaha berterusan kerajaan negeri dan BN untuk memastikan kebajikan penduduk terjaga," katanya selepas menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan di Majlis Penyerahan Sumbangan Kebajikan MBAS-Pemimpin Bersama Rakyat di Taman Wira Mergong di sini, semalam.

Turut hadir, Datuk Bandar Alor Setar Datuk Mohd Zohdi Saad, ketua-ketua bahagian Umno, pemimpin masyarakat dan wakil penaja.       

Pada majlis itu, 200 pelajar sekolah rendah menerima sumbangan asas persekolahan seperti sepasang pakaian sekolah, kasut dan sarung kaki yang disumbangkan syarikat SY Kasturi.

"Ini permulaan bantuan kepada keluarga yang memerlukan dan akan diteruskan ke 15 kawasan Parlimen di Kedah. Kami berharap, dengan sedikit bantuan ini akan mengurangkan bebanan keluarga dalam menyediakan persiapan persekolahan anak-anak mereka.

"Semua proses menyalurkan bantuan ini akan diselesaikan sebelum sesi persekolahan dibuka pada tahun depan," katanya. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com