RapidKL Perkenal Tren Generasi Baru


KUALA LUMPUR - Perkhidmatan rel negara melakar kejayaan baharu apabila RapidKL Sdn Bhd memperkenalkan tren generasi baharu Rapid KL laluan Kelana Jaya bernilai kira-kira RM577.5 juta.

Mula beroperasi pada Khamis, tren empat gerabak tanpa pemandu ini direka oleh Bombardier Transport dengan dilengkapi ciri-ciri baharu seperti peta laluan dinamik yang menunjukkan arah perjalanan serta maklumat stesen sebelum dan selepas.

Setiap gerabak dilengkapi dengan empat unit kamera litar tertutup (CVTV) dan ruang tempat duduk khas untuk orang kelainan upaya (OKU).

Tren empat gerabak ini berupaya menampung kapasiti seramai 800 penumpang pada satu-satu masa.

Sempena perjalanan pertamanya semalam, wakil media diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman menaikinya bermula dari Stesen Ara Damansara menuju ke Stesen Ampang Park.

Perjalanan pertama itu diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Ir Zohari Sulaiman.

Menurut beliau, keseluruhan 14 unit tren Kuala Lumpur Additional Vehicle (KLAV) ini akan mampu meningkatkan kapasiti penumpang LRT Laluan Kelana Jaya sebanyak 30 peratus.

"Set tren baharu ini akan mula digunakan secara berperingkat mengikut jadual penghantaran oleh pembekal kepada kami yang dijangka diterima sepenuhnya pada pertengahan 2017," katanya.

Pada masa ini LRT Laluan Kelana Jaya beroperasi dengan kombinasi tren empat gerabak dan dua gerbak dengan purata 48 unit tren setiap hari pada waktu puncak.

Sumber: mStar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com