Pulau Pinang Bukan Hab Penyeludupan Dadah - KPN


KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan laporan yang mendakwa Pulau Pinang sebagai hab penyeludupan dadah ke negara ini dari Thailand.

Beliau menegaskan pihak polis sedia maklum tentang aktiviti berkaitan dadah di negeri itu, tetapi laporan yang mengatakan Pulau Pinang sebagai hab penyeludupan dadah adalah tidak tepat.

"Antara faktornya, hubungan perniagaan antara penduduk Pulau Pinang dan selatan Thailand.

"Sindiket penyeludupan mengeksplotasi hubungan perniagaan tersebut untuk melaksanakan operasi berkaitan dadah.

"Hal itu tidak bermaksud Pulau Pinang dilabel sebagai hab disebabkan bekalan dadah masuk ke negeri itu dan segelintir penduduk negeri tersebut terlibat," katanya kepada pemberita pada sidang media di Bukit Aman, Selasa.

Khalid menjelaskan, wujud kerjasama antara pihak berkuasa Malaysia dan Thailand.

"Pihak polis sentiasa mengambil tindakan. Malah kebanyakan tangkapan berkaitan jenayah dadah di Thailand disebabkan kerjasama antara kedua-dua negara," katanya.

Selain itu, Khalid berkata, selagi wujud permintaan terhadap dadah, maka bekalan bahan terlarang itu sentiasa ada.

"Kita perlu menentang dua elemen tersebut iaitu permintaan dan pembekal dalam menangani jenayah pengedaran dadah," katanya.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com