Program CSR Sumbang Pembangunan Rumah OKU Di Kulim

Pengarah Urusan kilang Bard Sdn Bhd Tom Mangan (kanan) memotong riben sambil diperhatikan Pengerusi Rumah Bakti, Abu Bakar (kiri) ketika perasmian Restoran Sajian Bakti di Pusat Sehenti Bagi Orang Cacat Penglihatan (Rumah Bakti) di Jalan Assad, baru-baru ini.
KULIM - Bagi menambahkan pendapatan untuk pembangunan Rumah Bakti di Jalan Assad, di sini, sebuah Restoran Saji Bakti diwujudkan dengan bantuan Syarikat Bard Sdn Bhd.

Pengarah Urusan Bard Sdn Bhd, Tom Mangan berkata, jalinan kerjasama dengan Rumah Bakti telah bermula sejak 2006 dengan menyumbangkan dana sebanyak RM500,000 melalui program khidmat masyarakat (CSR).

Menurutnya, pada tahun ini pula pihaknya memperuntukkan sekitar RM70,000 untuk kerja mengubahsuai di bangunan Rumah Bakti bagi dijadikan sebagai dapur serta membeli peralatan memasak untuk kemudahan Restoran Sajian Bakti ini.

“Program CSR ini dijalankan di bawah Ahli Jawatankuasa Khidmat Masyarakat Bard Malaysia dan pada kali ini, kita telah bina restoran yang akan menjadi sumber pendapatan bagi menjalankan pelbagai program.

“Restoran ini akan menjual Sajian Bakti yang diuruskan sendiri oleh penghuni di sini dibantu kakitangan Rumah Bakti,” katanya ketika merasmikan Restoran sajian Bakti dekat sini, baru-baru ini.

Tom berkata, pihaknya juga turut memberi sumbangan kepada rumah kebajikan dan amal yang ada di sekitar daerah ini.

“Kami tertarik dengan kerja amal yang dijalankan oleh pihak terlibat secara sukarela dan penuh tanggungjawab membantu golongan kurang upaya.

"Ini merupakan antara faktor yang menarik minat syarikat untuk terus melakukan sumbangan manakala jumlah sumbangan setiap tahun tidak sama kerana ia bergantung kepada keperluan pihak yang terbabit,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Rumah Bakti, Abu Bakar Ali berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pihak Bard yang merupakan antara agensi swasta yang banyak membantu membangunkan Rumah Bakti ini sehingga penghuni di sini dapat menikmati suasana tempat tinggal dan bekerja yang lebih selesa.

“Pihak kami tidak mahu hanya bergantung dengan menerima bantuan kewangan sahaja dan dengan adanya bantuan peralatan dapur maka kami dapat menjalankan perniagaan yang secara tidak langsung akan memperoleh pendapatan sendiri tanpa perlu terlalu bergantung kepada pihak lain.

“Restoran ini dijangka beroperasi pada 1 Disember nanti dan ada tujuh pekerja normal diambil untuk melakukan kerja sebagai tukang masak dan pelayan. Apa yang menarik di restoran ini nanti pihak kami akan menyediakan menu bajet iaitu set makanan dan minuman berharga RM2.50 sehingga RM3,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com