AddThis

PPBSM Sokong Naik Gaji, Kekal Elaun Perjalanan Pemandu Bas


ALOR SETAR – Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM) menyambut baik cadangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya gaji pemandu bas ekspres dinaikkan.

Pengerusinya, Sa’adan Man berkata, perkara itu dapat membantu meringankan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Namun, beliau menggesa supaya kenaikan itu tidak menjejaskan pemberian bayaran elaun perjalanan kepada setiap pemandu.

“Kita cadang supaya gaji asas minimum kepada pemandu bas sebanyak RM1,200 sebulan, tak termasuk elaun perjalanan.

“Mereka boleh naikkan gaji, tapi tidak boleh hapuskan elaun perjalanan itu sebab elaun perjalanan kebiasaannya dibayar mengikut jarak perjalanan. Misalnya purata RM60 untuk perjalanan dari Alor Setar ke Butterworth,” katanya.

Menurutnya, tidak timbul isu pemandu bas mengejar trip perjalanan sebagai mendapatkan elaun yang lebih banyak sehingga mengakibatkan berlakunya kemalangan di jalan raya.

“Kita kena ingat kemalangan ini berlaku disebabkan banyak faktor antaranya keadaan jalan itu sendiri, kenderaan dan pemandu letih. Bukan elaun itu yang menjadi punca kemalangan.

“Kita sokong cadangan SPAD untuk menaikkan gaji pemandu bas sebab ada di kalangan pemandu yang gaji terlalu sedikit. Masih perlu diberi gaji yang setimpal dan dijaga kebajikan mereka,” katanya.

Sebelum ini, SPAD mencadangkan supaya syarikat pemandu bas ekspres menyemak semula mekanisme memberi upah berbentuk komisen kepada pemandu bas mereka.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, pemandu bas perlu diberi gaji asas yang lebih tinggi bagi mengelakkan mereka terlalu mengejar komisen sehingga terdedah kepada risiko kemalangan akibat faktor keletihan dan pemanduan laju.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com