Petani Yan Lega Dapat Jambatan Baru Permudah Urusan

Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom merasmikan jambatan Sungai Udang.
YAN - Lebih 300 petani merasa lega apabila tidak perlu menunggu masa yang lama untuk menguruskan tanaman padi selepas jambatan bernilai RM250,000 di Sungai Udang siap dibina.

Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kewujudan jambatan berkenaan memudahkan urusan para petani.

"Sebelum ini mereka perlu menunggu giliran yang lama untuk menggunakan perkhidmatan mesin padi ekoran tiada jalan untuk menyeberangi sungai.

"Mesin padi berkenaan akan menghabiskan kerja pertanian mengikut kawasan tertentu sebelum ke kawasan lain ekoran tiada jambatan untuk menyeberangi sungai," katanya.

Menurutnya, pembinaan jambatan itu juga dapat membantu petani menggunakan perkhidmatan mesin padi dengan lebih cepat dan mudah kerana jentera mesin padi berkenaan boleh menyeberangi sungai melalui jambatan berkenaan pada bila-bila masa sahaja.

Beliau berkata, jentera mesin padi berkenaan perlu mengambil masa lebih lima jam untuk pergi ke kawasan seberang sungai pada sebelum ini kerana perlu melalui jalan utama.

"Diharapkan dengan kewujudan jambatan ini dapat memudahkan urusan pertanian para petani," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com