Perwakilan Pemuda Negeri Sembilan Gamatkan Dewan Merdeka


KUALA LUMPUR - Suasana Dewan Merdeka gamat apabila Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta beratur membeli minyak masak dalam paket 1 kilogram bagi memahami sendiri masalah yang dihadapi rakyat.

Lebih menghangatkan suasana apabila perwakilan Pemuda Umno Negeri Sembilan, Rizuan Ahmad turut mencadangkan supaya Najib menaiki bas henti-henti yang disediakan kerajaan.

Dua cadangan berkenaan disuarakan Rizuan susulan isu kos sara hidup yang dihadapi rakyat sejak kebelakangan ini, khususnya akibat kenaikan harga bahan api dan pemansuhan subsidi minyak masak.

Tegasnya, kerajaan sentiasa mahu rakyat memahami situasi ekonomi semasa, namun pada masa sama enggan mendalami isu sebenar yang dihadapi golongan berpendapatan rendah.

“Mungkin Datuk Seri Najib tak pernah berbaris beli minyak masak paket satu kg.

"Kenapa Datuk Seri asyik cerita supaya kita naik bas? Datuk Seri cubalah naik bas…yang naik tu semuanya orang Bangladesh,” katanya sambil disambut sorakan dan tepukan gemuruh perwakilan.

Beliau berucap pada sesi perbahasan Ucapan Dasar Ketua Pemuda Umno yang secara kebetulan turut dihadiri Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Jelas Rizuan, isu utama yang harus ditangani kerajaan ialah bagi memastikan subsidi dan kemewahan negara tidak dinikmati rakyat asing.

“Kita terlepas pandang bahawa warga asing yang tak bayar cukai mendapat nikmat yang sama rata dengan penduduk kita.

“Tak ada ke (pemimpin) bijak pandai dalam kerajaan boleh berikan satu idea supaya hanya rakyat Malaysia dapat keistimewaan ini?” soalnya.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com