Persatuan Rohingya Kedah Cadang Ganti Tenaga Kerja Myanmar


ALOR SETAR - Keputusan kerajaan Myanmar melarang rakyatnya bekerja di Malaysia turut disambut baik Persatuan Rohingya Malaysia Cawangan Kedah.

Pada masa sama, pengerusinya Yusof Ali turut mencadangkan peluang pekerjaan itu diisi oleh masyarakat Rohingya yang terpaksa menjadi pelarian ke negara ini.

"Kerajaan Malaysia boleh mempertimbangkan untuk mengambil kami bagi menampung kekosongan itu nanti.

"Apa yang lebih penting etnik Rohingya dapat mencari rezeki menyara keluarga yang tidak mendapat pembelaan di tempat sendiri," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Dianggarkan kira-kira 2,000 etnik Rohingya di negeri ini masih tidak mempunyai pekerjaan manakala hampir 5,000 lagi telah bekerja di sektor perladangan dan pembinaan.

Yusof berkata, keputusan Myanmar itu juga menunjukkan negara itu telah mula merasai tekanan antarabangsa.

"Dulu seluruh dunia termasuk Pertubuhan Bangsa Bersatu, Pertubuhan Negara-negara Islam tidak mempedulikan nasib kami, tetapi apabila Malaysia buka mulut, semua pihak mula buka mata dan bersatu membela masyarakat Rohingya," katanya.

Dalam pada itu, Yusof berharap seluruh dunia termasuk Malaysia akan terus memberi tekanan kepada Myanmar kerana penindasan di Rakhine, Myanmar masih berlarutan.

"Saya mendapat maklumat terbaharu orang Rohingya terus diseksa dan dihalau, malah ada yang diculik sebelum dibunuh jika tidak mendapat wang tebusan. Langkah Malaysia membuka suara sangat baik bagi memperjuangkan prinsip kemanusiaan," katanya.

Myanmar  baru-baru ini dilaporkan telah melarang rakyatnya bekerja di negara ini sebagai membalas pendirian tegas Malaysia dalam isu pembunuhan etnik Rohingya. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com