Pemimpin Disaran Fahami Corak Pemikiran KBAT


KUALA LUMPUR – Pemimpin kerajaan disaran bersikap berterus-terang dan memahami corak pemikiran terkini masyarakat yang disifatkan seperti Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Ketua Puteri Bahagian Jerantut Norsarfinaz Mohd Azman berkata kenyataan perlu diberikan dengan jelas agar masyarakat tidak mempunyai tanggapan negatif memandangkan rakyat kini amat peka dengan keadaan semasa.

“Jika kata ekonomi baik, kenapa ada rakan yang diberhentikan kerja? Jelaskan…beritahu semua dengan jelas bahawa bukan kita sahaja yang mengalami kemerosotan ekonomi tetapi seluruh dunia.

“Sarankan kepada rakyat agar mengguna minyak Petronas sahaja untuk membantu meningkatkan pendapatan negara. Jika tidak jelas, bagaimana (kami) mahu berdepan dengan orang muda yang mempunyai pemikiran KBAT ini,” katanya.

Norsarfinaz yang menggelar dirinya sebagai ‘Kak Pipi Pom Pom’ berkata demikian ketika membawa usul agama pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Beliau juga menggesa pemimpin untuk memandang serius permasalahan Felda seperti masalah perumahan generasi kedua dan masalah ekonomi kerana Felda merupakan ‘simpanan tetap’ UMNO dalam menentukan kemenangan parti pada pilihan raya.

“Jangan pandang sambil lewa simpanan tetap ini, memandangkan ramai yang sudah beralih arah. Buatlah sesuatu, kerana bimbang luka akhirnya menjadi barah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri Bahagian Semporna Zakiyah Kalipunya yang membawa usul pendidikan menggesa kerajaan mewujudkan peruntukan tabung kecemasan untuk membaik pulih sekolah yang boleh dimohon bila-bila masa tanpa menunggu giliran.

Beliau berkata masih ada sekolah yang jauh ketinggalan dan daif khususnya di Sabah, sama ada daripada segi infrastruktur, bekalan air dan elektrik serta jaringan perhubungan ke sekolah. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com