Pelbagai "Drama" Hiasi Pentas Bola Sepak Negara 2016


TAHUN 2016 dianggap musim cemerlang buat arena sukan negara secara keseluruhannya selepas melakarkan rekod bersejarah pada Sukan Olimpik dan Paralimpik di Brazil pertengahan tahun ini.

Ironinya, pencapaian gah dan membanggga seluruh rakyat Malaysia ini jelas sekali tidak mampu mengalih perhatian pandangan peminat bola sepak tegar tempatan yang tetap menjadi acara sukan nombor satu negara.

Apa sahaja yang berkaitan bola sepak sama ada di peringkat kebangsaan, kelab mahupun negeri ianya sentiasa ditunggu-tunggu peminat bola sepak untuk mengetahui perkembangan terkini pasukan kesayangan mereka.

Hakikatnya, 2016 bukanlah tahun bertuah buat skuad Harimau Malaysia dengan prestasi turun naik pasukan yang kini berada di ranking ke-161 dunia.

Pun begitu, penamat tahun ini lebih baik berbanding 2015 yang berada ditangga ke-170 dunia.

Selain prestasi skuad Datuk Ong Kim Swee yang mengakhiri perlawanan tahun ini dengan kegagalan melayakkan diri ke separuh akhir Piala AFF Suzuki November lalu.


Bagaimanapun jodoh Kim Swee dengan skuad negara masih panjang kerana terus diberi peluang bergelar ketua jurulatih kebangsaan berdasarkan kontraknya sehingga Disember 2017.

‘Same script different year’ skuad kebangsaan itu tidak mampu menyaingi  ‘drama’ pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M) 2016 secara keseluruhannya.

Permulaan Liga-M tahun ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila dilanda fenomena baharu dengan kemunculan beberapa syarikat kecantikan berlumba-lumba menaja pasukan tempatan dengan jumlah jutaan ringgit sekaligus menjadi mimpi indah buat buat pasukan terbabit.

Pelbagai janji manis serta perancangan mega yang diberikan kepada pasukan terpilih yang mana pada permulaannya berjalan lancar.


Hakikatnya seperti yang diketahui, bola itu bulat dan prestasi setiap pasukan ada naik turunnya, dan untuk mengekalkan rentak konsisten dalam bola sepak bukan semudah mengira untung dalam perniagaan.

Bersesuaian dengan pepatah Inggeris, ‘all good things must come to an end’ apabila  penaja mula menarik diri kerana sikap tidak sabar untuk melihat sesebuah pasukan berjaya atau gagal dalam mencapai sasaran seperti mana yang disyaratkan.

Dan bermulalah mimpi ngeri pasukan terbabit menapak mencari dana bagi meneruskan saingan akan datang.

Fenomena penaja dari produk kecantikan  ini juga turut menarik perhatian pengkritik sukan tanah air, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim malah apa yang dibimbangkan menjadi kenyataan.

Katanya ketika itu, persekitaran bola sepak negara jauh berbeza kerana pemain dahulu berusaha menggunakan duit sendiri untuk membantu pasukan tanpa mengharapkan bantuan penajaan.

Malangnya penajaan berjutaan ringgit ini akhirnya memakan ‘diri sendiri’.


Antara pasukan yang mengalami mimpi ngeri itu adalah Kelantan FA yang kini menghadapi krisis kewangan serius sehingga berhasrat untuk menarik diri daripada saingan LIga-M musim depan.

Lebih parah presidennya, Tan Sri Annuar Musa meletak jawatannya kerana sudah ‘penat’ untuk menangani pelbagai isu pasukan Kelantan terutamanya masalah kewangan.

Bukan sahaja Kelantan, terapi beberapa buah pasukan lagi seperti Perlis, Selangor turut menjadi topik akhir tahunan bola sepak tempatan apabila meluahkan hasrat untuk menarik diri gara-gara dana kewangan yang tidak mencukupi.

Selain masalah ‘peribadi’ dalam pasukan, Liga-M 2016 yang pertama kali menggunakan format baharu dilihat berjalan lancar biarpun terdapat segelintir yang masih belum menyesuaikan diri dengan jadual padat.

Format baharu yang mirip liga-liga terkemuka dunia dengan saingan Liga Super dan Liga Perdana berlangsung pada Februari hingga Oktober.

Ketua pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia (FMLLP) Kevin Ramalingam memberitahu format tersebut akan diteruskan bagi saingan Liga-M 2017 atas persetujuan semua pasukan.

Dalam pada itu, Liga-M 2016 turut mencatat sejarah istimewa kepada bola sepak tempatan khasnya peminat-peminat setia kelab Johor Darul Tak’zim (JDT) yang berjaya melakukan hatrik Liga Super musim ini selain merangkul gelaran juara Piala FA buat julung kalinya.


Tidak dinafikan JDT sedikit sebanyak telah mewarnai keindahan sukan bola sepak tempatan sekaligus memberi contoh terbaik terutamanya sistem pengurusan di peringkat akar umbi.

Kemeriahan Liga-M juga turut dicalit dengan adegan ganas penyokong sejak awal liga dimulakan.

Dalam menumpang kebanggaan melihat skuad JDT yang semakin kukuh mencipta nama, adegan ganas penyokong juga mewarnai saingan liga musim ini.


Perlawanan Liga Super di antara Perak dan Selangor (16 Februari) dicemari dengan kekecohan peyokong di luar stadium, manakala adegan ganas kedua ketika aksi bertemu JDT (6 Ogos) sekaligus menjadikan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) mencatat hukuman denda tertinggi tahun ini dengan RM62,500 bersama tiga perlawanan rasmi tanpa penyokong kerana mengulangi kesalahan.

Selain tumpuan pasukan-pasukan utama dalam liga super,  kerancakan Liga Perdana turut dirasai dengan saingan sengit merebut tempat terbaik.

Mnakala Melaka United di lihat sebagai kelab paling konsisten memandangkan hanya dua musim sahaja  jurulatih Mat Zan Mat Aris berjaya meletakkan mereka  dalam saingan Liga Super tahun depan selepas kali terakhir 2005-06.

Juara Liga FAM 2015 itu hanya mengambil tempoh setahun untuk menjuarai Liga Perdana musim ini sekaligus menyaksikan nama Melaka United tersenarai dalam liga utama negara dengan bimbingan jurulatih baharu Eric Williams musim depan.

Tahun ini juga menyaksikan pemain bola tempatan buat julung kalinya atau mungkin yang terakhir menjadi sebutan di peringkat dunia apabila Mohd Faiz Subri (gambar bawah) menjadi tiga calon terakhir dalam perebutan Anugerah Puskas Fifa Januari depan.

Jaringan fenomena Mohd Faiz terus menjadi viral seluruh dunia dan telah mencecah lebih dua juta pelayar internet setakat ini.


Sama ada pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu menang atau tidak pada pengumuman 9 Januari ini, hakikatnya Mohd Faiz sudahpun membuktikan pemain Malaysia mampu berada sebaris dengan bintang-bintang bola sepak dunia yang lain.

Satu lagi sejarah bola tempatan turut berlangsung tahun ini apabila Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menjalinkan kerjasama dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) bagi Akademi Dato’ Ahmad Basri (Adab).


Dalam sibuk mengikuti perkembangan semasa liga,  timbul pula  isu 'pendrive' yang menarik perhatian peminat-peminat bola sepak tempatan apabila Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyerahkan pemacu pena tersebut yang didakwa mempunyai laporan sebanyak 279 halaman kepada SPRM (2 September) selepas menerimanya daripada Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 26 Ogos lepas.

Bagaimanapun Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki mengesahkan kandungan pemacu pena tersebut tidak mengandungi sebarang unsur rasuah mengikut Akta SPRM 2009.

Pemacu pena itu hanya mengandungi laporan teknikal, staf serta program pembangunan kejurulatihan.


Berakhirnya tahun 2016, bermakna kerusi presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bakal kosong berikutan Kongres Pemilihan FAM akan berlangsung tahun hadapan.

Teteka-teki siapa muka baharu yang bakal menduduki kerusi panas No.1 badan induk bola sepak negara ini hanya akan terjawab pada 25 Mac 2017.

Siapa sahaja yang bakal memikul tanggungjawab besar itu nanti, ia bakal diharap mampu memberi perubahan di peringkat akar umbi bola sepak negaraagar tidak terus berada di takuk lama.

SELAMAT TAHUN BAHARU 2017!

Ringkasan juara Liga Malaysia 2016:

-Juara Liga Super: Johor Darul Ta'zim (JDT)

-Juara Piala Malaysia : Kedah FA

-Juara Piala FA:  Johor Darul Ta'zim (JDT)

-Juara Liga Perdana: Melaka United

-Juara Piala FAM - MISC-Mifa

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com