#PAU2016: Pemimpin Pemikir Asas Kelangsungan Tamadun Negara


KUALA LUMPUR - Semua ahli Pergerakan Pemuda UMNO di negara ini perlu menghayati saranan untuk berfikir secara rasional dan lebih matang berbanding hanya berlandaskan gaya pemikiran yang berasaskan emosi.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, generasi muda yang berhasrat untuk memimpin rakyat di negara ini perlu memiliki bentuk pemikiran tersebut bagi menghasilkan pelbagai dasar negara yang baik pada masa depan.

"Menerusi kepimpinan berfikir sahajalah tindakan rasional lebih menjadi pilihan berbading emosional. Elemen kolaborasi didahulukan berbanding kontroversi dan revolusi.

"Sekaligus dengan metod ini banyak dasar dasar negara dapat dibentuk berasaskan keperluan sebenar aspirasi Gen y sepertimana yg telah terbukti dijana oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak," katanya ketika mengulas ucapan dasar Ketua Pergerakan tersebut, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, di sini, semalam.

Beliau turut menyambut baik penegasan Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu yang menggesa seluruh ahli pergerakan tersebut supaya tidak berjuang bagai "tin kosong" yang hanya vokal bersuara, namun tidak melakukan tindakan susulan yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Nyatanya, ingatan Khairy Jamaluddin agar pemuda tidak sekadar berjuang ibarat tin kosong dan bercakap berdegar degar tanpa susulan plan tindakan dan gerak kerja yang boleh memanfaatkan kelompok mereka sendiri adalah satu pendirian yang ikhlas lagi berani.

"Demi memastikan generasi ini dapat terus mewaris legasi dan mencetus realiti demi masa depan negara," katanya lagi.

Justeru itu Syed Mohd Johan Rizal menyeru kepada seluruh ahli sayap UMNO itu menyelami amanat Menteri Belia dan Sukan itu supaya memastikan setiap perancangan seiring dengan tindakan bagi merangka dasar masa depan negara yang lebih gemilang pada masa yang akan datang.

Khairy Jamaluddin sebelum itu menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang berlangsung di sini. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com