#PAU2016: Dakwaan Malaysia Akan Muflis Keterlaluan – Ahli Majlis Tertinggi

KUALA LUMPUR – Tuduhan liar bahawa Malaysia akan muflis adalah keterlaluan, kata beberapa Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan veteran parti.

Bersetuju dengan penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa penarafan ekonomi kumpulan A kepada negara adalah bukti ekonomi Malaysia tidak muflis, mereka berkata penjelasan itu membuktikan dakwaan pembangkang tidak benar sama sekali.

“Muflis bermakna kerajaan kita tidak boleh bayar hutang, tidak boleh berfungsi, tidak boleh bayar gaji, tidak boleh menjalankan tugas harian kerajaan, bayar tentera, polis dan lain-lain.

“Malaysia ada hutang, tapi yang penting kita mampu bayar dan tidak pernah cuai dalam membayar balik (hutang). Malah bagi negara-negara seperti Amerika dan Jepun, hutang per kapita mereka adalah lebih banyak,” kata Datuk Mustapa Mohamed kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 hari ini menegaskan tiada istilah muflis dalam kamus ekonomi Malaysia, malah Malaysia kekal dengan penarafan kumpulan A oleh agensi-agensi antarabangsa.

Mustapa, Anggota MT UMNO yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata seperti negara-negara lain, Malaysia turut menghadapi cabaran ekonomi tetapi mampu menangani cabaran tersebut.

“Tugas kerajaan adalah untuk menguruskan cabaran. Namun bila ada masalah, ia tidak bermakna kita akan muflis.

“Kita telah dapat menguruskan ekonomi dengan baik, pertumbuhan yang bagus, kadar pengangguran rendah, dan pelaburan masuk dengan banyak ke negara kita,” kata beliau.

Mustapa berkata pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjaya membantu kerajaan meneruskan agenda pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat, termasuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), dan masyarakat antarabangsa melihat Malaysia sebagai contoh negara yang diurus dengan baik.

“Kita menjadi ikon dan teladan bagi negara-negara membangun untuk belajar dan negara-negara maju melihat kita sebagai contoh negara yang diurus dengan baik,” katanya.

Anggota MT UMNO Datuk Johari Abdul Ghani berkata dari aspek ekonomi, kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO telah membangunkan negara sehingga mencapai RM1.2 trilion dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau yang juga Menteri Kewangan Kedua, berkata pertumbuhan ekonomi yang pesat hanya boleh dicapai dengan wujudnya kestabilan politik.

“Apa sahaja perbezaan pendapat, pastikan ia tidak menyebabkan ketidakstabilan politik kerana jika politik tidak stabil, agak sukar untuk membangunkan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata keadaan ekonomi Malaysia masih baik berbanding banyak negara lain.

“Dalam iklim ekonomi dunia sekarang, kita menghadapi masalah, dan oleh itu, pertumbuhan ekonomi dari segi mikro tidaklah begitu baik, tetapi jika dibandingkan dengan negara-negara lain, (ekonomi) kita baik.

“Mengikut unjuran, pertumbuhan KDNK bagi tahun ini dijangka mencapai 4 hingga 4.5 peratus. Banyak negara nak tumbuh satu atau dua peratus (KDNK) pun susah dalam keadaan sekarang,” kata Tengku Razaleigh, yang pernah menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1976 sehingga 1984. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com