PAS Takkan Jalin Kerjasama Dengan Parti Ada Hubungan DAP, PAN


ALOR SETAR - PAS menegaskan tidak akan menjalin kerjasama dengan mana-mana parti yang bekerjasama dengan dua parti pembangkang, DAP dan PAN yang selama ini disifatkan sebagai pemecah-belah jemaah parti tersebut.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dalam kenyataannya menegaskan PAS tidak dapat menerima kerjasama dengan parti yang terlibat dengan kedua parti yang sering menghentam parti itu.

"Kita takkan bekerjasama dengan mereka yang berhubungan dengan DAP dan PAN.

"Cuma, ditegaskan dia (PKR) ada hubungan dengan di sana (Pakatan Harapan) tapi pada masa yang sama nak berhubung dengan kita, tak boleh macam itu," katanya baru-baru ini, mengulas kerjasama antara Pakatan Harapan dan PPBM bagi menghadapi PRU14.

Menurut beliau, mesyuarat di peringkat PAS Pusat berkemungkinan diadakan bagi membincangkan tentang kerjasama politik bersama PKR yang diketahui merupakan komponen dalam Pakatan Harapan pada ketika ini.

Memetik laporan Sinar Harian, sebarang kata putus berkaitan status kerjasama itu mungkin dimuktamadkan dalam mesyuarat berkenaan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin dalam satu kenyataan beliau sebelum ini menegaskan pendirian PAS yang berpatah arang dengan DAP dan PAN.

Walau bagaimanapun, hubungan PAS dengan dua lagi parti pembangkang, PKR dan PPBM, yang menjalin kerjasama dengan DAP dan PAN bakal diputuskan dalam mesyuarat PAS selepas kajian secara teliti dibuat parti itu.

Sementara itu, PAN dan DAP difahamkan masih belum surut bertali-arus menghentam PAS saban hari ekoran enggan tunduk pada desakan untuk menjalin kerjasama bersama Pakatan Harapan. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com