Nelayan P.Pinang Jadi Mangsa Ekoran Sikap Kerajaan DAP


GEORGE TOWN – Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata demi merealisasikan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP sanggup menghancurkan masa depan nelayan dan alam sekitarnya.

Irmohizam berkata sikap angkuh kerajaan Pulau Pinang masih berterusan biarpun laporan hasil kajian awal dikeluarkan oleh pihak Perunding Penilaian Kesan Alam Sekitar menyatakan ancaman besar akan berlaku terhadap alam sekitar dan kehidupan nelayan sekiranya projek itu diteruskan.

“Mungkin mudah untuk kerajaan Pulau Pinang beri pampasan, namun dengan memusnahkan alam sekitar tidak melambangkan kewibawaan kerajaan negeri dalam menjaga kelestarian alam. Ini warisan negara yang perlu dipertahankan.

“Wira yang tidak selalu didendangkan seperti nelayan ini sebenarnya sudah bertarung nyawa demi memberi sumber protein kepada rakyat Malaysia. Sumber laut di kawasan Permatang Damar Laut inilah menjadi lubuk rezeki mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata projek tersebut sudah pasti menjejaskan kehidupan para nelayan terutamanya di Kampung Sungai Batu kerana terpaksa bergantung hidup dengan sumber marin di situ.

“Hal ini turut membuktikan bahawa kerajaan Pulau Pinang tidak benar-benar membantu dan memikirkan nasib nelayan. Pemberian pampasan bukanlah satu penyelesaian bagi menutup kerosakan dan ketidakpuasan hati para nelayan, namun paling penting adalah kelestarian pembangunan dalam menjaga nilai-nilai estetika semula jadi.

“Nilai-nilai seperti ini mampu menjana pendapatan tanpa memudaratkan persekitaran, di samping memajukan ekonomi setempat khususnya para nelayan.

“Tidak ada maknanya jika pengangkutan dibangunkan dengan menghancurkan khazanah alam yang nilainya tiada tandingan serta bertukar ganti,” katanya.

Irmohizam yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor berkata tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang hanyalah untuk membuktikan kejayaan bagi menyiapkan pelan rancangan tanpa mengira perkara serta nasib semua pihak.

Katanya kegagalan dalam mengimbangi kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat turut memberikan gambaran bahawa kerajaan negeri ini tidak bersikap adil dan lari daripada pembangunan sebenar.

“Jangan dipersalahkan nelayan sekiranya ikan tidak mencukupi di pasaran dan menyebabkan harga tidak menentu. Sepatutnya ekosistem ekonomi nelayan yang menjadi warisan negara seharusnya dilindungi dan dipertahankan oleh kerajaan negeri ini dan bukannya menggunakan pembangunan sebagai alasan bagi menafikan hak yang mereka miliki sejak merdeka lagi.” katanya. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com