Mohd Najib Pilih Akhlak Rasulullah Berbanding Nada Keras


KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib lebih memilih untuk patuh pada pesanan Rasulullah SAW untuk bersifat sabar dan berlembut kepada musuh-musuh yang selama ini menyerang beliau dengan pelbagai fitnah dan tohmahan.

Tegas beliau, budaya Melayu juga sememangnya terkenal dengan sikap sopan-santun dan kaya dengan budi pekerti yang tinggi, melambangkan sebuah bangsa yang lebih bersifat "menyanggah dengan senyuman".

"Semakin saya renung semula saranan-saranan itu, saya berasakan adalah lebih baik mengambil  sifat  yang mulia dengan berpegang kepada pesanan Rasulullah kepada isteri Baginda, Saidatina Aisyah, agar berlembutlah dalam kata-kata, walaupun terhadap lawanmu.

"Tambahan lagi, sifat-sifat mulia orang-orang Melayu, seperti disesuaikan daripada madah Sasterawan Negara Usman Awang dan Sasterawan Melayu-Riau Tenas Affendy," tegas beliau ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Kata Mohd Najib, beberapa rakannya meminta beliau supaya tidak lagi bersikap "gentleman", sebaliknya bernada lebih keras dalam menghadapi serangan-serangan musuh politik, khususnya pembangkang, yang semakin melampau melempar tohmahan terhadap beliau dan UMNO.

Presiden UMNO itu berkata, beliau mengambil pendirian untuk mengamalkan kepimpinan politik yang matang dan mencontohi akhlak Rasulullah SAW sebagai panduan beliau memimpin parti dan negara.

"Malah, menceduk pengajaran ketika mana Rasulullah telah diusir, dicerca, dihina dan dilontar dengan batu oleh penduduk Thoif, sampai terpercik dan mengalirnya darah Nabi dicederakan oleh mereka.

"Sehinggalah Malaikat Jibril bersama-sama Malaikat yang menjaga gunung-ganang serta bukit bukau, dalam sifat kemalaikatan sendiri pun, berasa marah, hatta meminta izin dari Rasul untuk menghempap dan menurun bala bencana, kepada bumi Thoif dan penduduk-penduduknya, atas kejahatan dan kekejaman yang telah diperlakukan kepada Baginda Rasul.

"Namun, mulianya  hati  Nabi,  Baginda memilih untuk bersabar dan berjiwa besar serta lebih mementingkan usaha murni dakwah bagi menyebarkan kebaikan dan membangunkan masa depan ummah daripada membalas keburukan dengan keburukan.

"Demikianlah dalam konteks semasa, dengan segala rasa rendah diri dan tawaduk, sebagai hamba Allah dan manusia biasa,yang punya hati dan perasaan, saya sedar dan saya sememangnya tahu bahawa, segelintir  pihak  sedang menghina-hina serta mengeji-ngeji saya secara peribadi, anak isteri serta keluarga saya, dan lebih menyedihkan lagi, mereka mencela-cela pula parti kesayangan kita, parti UMNO, dan Kerajaan secara keseluruhannya," tegasnya.

Mohd Najib pagi tadi menyampaikan ucapan dasar Presiden bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com