"Miniesyaa Booster Expert Serum" Lahir Dari Pengorbanan Pasangan Muda Di Yan


YAN - Memang sukar untuk melakar kejayaan tetapi jika ia disulam dengan kesungguhan dan diiringi pula dengan orang yang tersayang pasti membuahkan hasil lumayan.

Kejayaan pasangan suami isteri muda sehingga mampu mengeluarkan produk kecantikan jenama sendiri seharusnya dikagumi ramai.

Nor Shahira Hasan, 23, dan suaminya Azrul Ameran, 23, merupakan graduan Diploma Seni Digital lepasan Politeknik Tuanku Syed Sirajudin, Perlis (PTSS).

Shahira berkata, kejayaan yang dicapai pada hari ini adalah hasil daripada kesusahan mereka ketika di zaman belajar dahulu.

“Saat belajar di politeknik adalah saat yang tidak dapat saya lupakan, jika ingin diceritakan semula sudah pasti air mata ini kembali menitis.

“Sedih. Saat orang lain sibuk berhibur bersama rakan, saya dan Azrul pula sibuk menjual roti bakar dan air dari bilik ke bilik.

“Bukan tiada duit. Saya juga ada dapat pinjaman belajar, tetapi saya lakukan semua itu kerana saya melihat sesuatu di hadapan saya selepas saya tamat belajar,” ujarnya.

Tambah Shahira, dia menjadi kuat semangat kerana tidak melakukan perkara sedemikian seorang diri.

“Perkenalan saya dan Azrul pada semester pertama membuatkan kami menjadi rapat dan seterusnya bersama-sama dalam mengumpul wang demi masa hadapan,” jelasnya.

Jual roti, air dari bilik ke bilik

Mengimbau kenangan lalu, Shahira berkata, selepas tamat kelas dia akan bergegas pulang ke bilik dan menyiapkan roti bakar, manakala Azrul pula bertanggungjawab menyediakan air.

“Selesai semuanya kami bertemu dan membahagikan makanan. Dia jual di asrama lelaki, manakala saya pula jual di asrama perempuan. Duit hasil untung kami kumpul bersama.

“Dari awal semester sehinggalah tamat pengajian sepanjang tiga tahun kami mengumpul wang dengan berniaga,” katanya.


Azrul berkata, semester pertama dia telah jatuh cinta kepada Shahira dan alhamdulillah kami berkawan baik serta berjaya mendirikan rumah tangga pada tarikh konvokesyen kami berdua iaitu pada Ogos 2015.

Meskipun Azrul sibuk belajar dan berniaga bersama kekasih hati tetapi tanggungjawabnya terhadap pelajaran tidak pernah diabaikan.

Ini dibuktikan dengan pencapaiannya mendapat anugerah dekan sepanjang semester dan turut mendapat anugerah yang sama ketika hari graduasi dengan CGPA 3.79.

Usah terlalu selesa

Azrul berkata, dia dan Shahira pernah berkongsi wang pinjaman belajar dan membeli barang di Padang Besar seperti kain batik, baju, produk kecantikan dan menjualnya di merata tempat.

“Jika diimbau kembali saat saya menjual air dan roti dari bilik ke bilik perasaan kagum dengan diri sendiri mesti wujud.

“Kerana wang orang sanggup buat apa sahaja. Jadi saya dan Shahira ingin menyeru anak muda di luar sana agar jangan terlalu selesa dengan apa yang dimiliki.

“Lakukan sesuatu yang boleh memberi impak positif dalam kehidupan kita pada masa hadapan,” tegasnya.

Menurut Shahira, selepas bergraduasi dan berkahwin, dia dan Azrul berniaga di pasar malam sekitar Kokdiang, Kedah.

“Ada hari yang kami balik dengan tangan kosong. Sebab hujan tak boleh meniaga. Buka tutup payung pasar malam itu perkara biasa bagi kami berdua.

“Dalam tempoh sebulan kami meniaga pasar malam dan bila simpanan hasil meniaga agak tinggi kami berdua ambil keputusan pergi seminar perniagaan,” ceritanya.

10,000 unit terjual

Selepas mendapat pelbagai ilmu perniagaan daripada pelbagai seminar yang dihadiri pasangan muda ini nekad untuk memiliki produk sendiri maka dengan bermodalkan RM20,000 terhasillah Miniesyaa Booster Expert Serum pada Oktober lalu.


“Alhamdulillah, sehingga kini sudah 10,000 unit terjual. Syukur Alhamdulillah, itu sahaja yang mampu kami ungkapkan,” kata Shahira.

Menurut Shahira, produk itu sesuai untuk mereka yang mengalami masalah jerawat, jeragat dan parut di wajah.

“Kesan akan dapat dilihat seawal tiga hari dan pengguna tidak perlu bimbang kerana produk ini turut mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan boleh digunakan semasa solat,” jelasnya.

Produk yang dirumus khas dalam satu kotak ini mempunyai pelbagai fungsi dengan harga RM130 sekotak.

Ditanya berkaitan promosi, pasangan ini berkata, mereka melakukan promosi besar-besaran di laman sosial Facebook, Instagram, dan turut memasang gegantung di sepanjang jalan sekitar Kedah.

Pasangan muda ini mempunyai impian yang tinggi apabila mahu memastikan produk milik mereka ini dapat menembusi pasaran luar negara seperti Indonesia dan Singapura.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com