Keluarga Pemandu Bas Kesal Majikan Belum Hulur Bantuan


GEORGE TOWN – Keluarga pemandu bas ekspres Zakeer Zubir, 32, yang terkorban dalam kemalangan di Pagoh, Johor Sabtu lepas kesal tiada wakil majikannya tampil bertanya khabar atau membantu mereka.

Abang mangsa, Zameer Zubir, 35, berkata keluarganya berhadapan dugaan yang berat dan memerlukan sokongan serta bantuan pelbagai pihak terutama daripada majikan arwah adiknya.

“Sudah tiga hari kejadian, kelibat majikan atau wakil langsung tiada. Hospital pula mahu kami segera ke Johor bagi menandatangani beberapa dokumen untuk melakukan pembedahan ke atas Miya (isteri Zakeer, Miyarseh).

“Miya, seorang warga Indonesia, jadi kos rawatan lebih mahal. Kami terkilan masih belum dapat ke Johor kerana perlu jaga dua lagi anak arwah yang berusia empat dan dua tahun serta emak yang masih trauma,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumah mereka di sini.

Allahyarham Zakeer adalah pemandu bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan di KM 137.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara yang mengorbankan 14 nyawa termasuk anak bongsunya, Nur Natasha Zahara, 1.

Miyarseh yang turut berada dalam bas sama, bagaimanapun terselamat dan masih lagi menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar kerana cedera parah.

Zameer berkata, untuk ke Johor juga mereka memerlukan perbelanjaan yang besar kerana tiada saudara mara di situ dan tiada tempat untuk tumpang bermalam.

Dalam pada itu, Zameer turut mempersoalkan mengapa hanya seorang pemandu sahaja sahaja yang bertugas sedangkan jarak perjalanan sangat jauh dari Pulau Pinang hingga ke Johor dan pulang semula ke Kuala Lumpur.

“Kami tidak menolak kemungkinan arwah letih kerana memandu terlalu lama. Tidak boleh salahkan dia dan kami sekeluarga sedih sebab ramai orang salahkan pemandu walhal kami tahu dia seorang yang cekap ketika memandu,” katanya.

Sementara itu, adik Zamil, Zahirah, 21, berkata beliau ada menghubungi hospital bagi mengetahui keadaan Miyarseh, namun kecewa tidak diberikan sebarang maklumat, sebaliknya diminta agar segera ke sana.

“Kami sekeluarga berharap kakak Miya dapat dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang supaya senang untuk kami memantaunya kerana keluarganya di Indonesia pasti tidak mampu datang ke sini,” katanya.

Dalam pada itu, ibu Zakeer, Rashidah Abdul Rahim, 60, masih murung akibat kehilangan anak kedua daripada tiga beradik itu dan dilihat sering menangis sambil meriba anak-anak Zakeer, Nur Zafeerah, 2, dan Nur Cahaya Zulaikha, 4.

Rashidah berkata kedua-dua cucunya itu tidak dapat tidur nyenyak dan kerap meracau pada pukul 4 pagi mencari bapa dan adik mereka.

“Sehingga hari ini si adik yang berusia dua tahun sering merengek dan langsung tidak mahu berenggang dengan saya. Dia seolah-olah mencari bapa dan ibunya. Iyalah, nak bercakap tidak pandai tapi memang kerap menangis dan merengek,” katanya.

Disebabkan itu Rashidah berkata beliau susah untuk bergerak kerana perlu menjaga cucunya yang menjadi anak yatim sekelip mata. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com