"Kami Makin Pokai" - Pemandu Teksi KLIA

Ruang menunggu teksi eksekutif di KLIA.
PETALING JAYA - Taktik 'sesumpah' atau pemandu perkhidmatan kongsi kereta yang cuba mengaut keuntungan tanpa menggunakan aplikasi tempahan didakwa telah mengakibatkan kerugian lebih tinggi ditanggung pemandu teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

Jika sebelum ini kehadiran Uber/GrabCar dianggap seperti mencurah pasir ke periuk nasi pemandu teksi, kini tindakan mereka yang mengambil penumpang di lapangan terbang tanpa tempahan di aplikasi mudah alih mengundang rasa tidak puas hati yang lebih membuak-buak dalam kalangan pemandu teksi.

Seorang pemandu teksi eksekutif di KLIA yang hanya mahu dikenali sebagai Jijoy mendakwa, jumlah pendapatan bulanan mereka menurun kira-kira 50 sehingga 60 peratus akibat kegiatan ulat Uber/GrabCar.

Jijoy
"Jika sebelum ini, kami boleh meraih pendapatan kasar antara RM8,000 dan RM10,000 setiap bulan tetapi sekarang hanya antara RM4,000 dan RM5,000 sebulan.

"Itu pun ikut nasib, ada waktunya kami dapat lagi sedikit. Berapalah sangat yang tinggal selepas ditolak sewa teksi, makan minum dan perbelanjaan lain," katanya.

Jijoy yang bekerja sebagai pemandu teksi selama lapan tahun berkata, pergerakan mereka untuk mengambil penumpang kini juga semakin perlahan.

Jelasnya, jika sebelum ini mereka boleh mendapat secara purata enam penumpang atau 'trip' dalam masa dua hari, tetapi kini hanya tiga 'trip' bagi tempoh yang sama.

"Kami terutama pemandu teksi eksekutif di KLIA perlu menunggu giliran apatah lagi jumlah kami yang ramai, jadi kehadiran Uber dan GrabCar terutama yang licik ini memperlahankan pergerakan kami," katanya dengan nada kesal.

Selain 'sesumpah' dan 'ulat', Jijoy juga memberitahu, mereka juga perlu bersaing dengan perkhidmatan pengangkutan awam lain di KLIA termasuk KLIA2 seperti teksi limo, teksi premier, teksi bajet dan kereta sewa.

Sementara itu, seorang pemandu teksi bajet yang ditemui turut mengakui pendapatan kasarnya setiap bulan berkurangan antara RM4,000 dan RM5,000 kepada antara RM1,500 dan RM2,500.

Beliau yang enggan dikenali berkata, dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan kenaikan harga barang, sudah tentunya ia mengecilkan pendapatan boleh guna mereka.

Tambahnya, kebimbangan timbul sekiranya mereka tidak mampu untuk membayar sewa teksi.

"Alhamdulillah, saya masih lagi mampu bernafas untuk terus mencari rezeki dengan membawa teksi di KLIA/KLIA2 tetapi sekadar cukup-cukup makan.

"Ada pemandu di kalangan kami yang tertunggak bayaran sewa teksi berbulan-bulan  disebabkan keadaan yang menimpa sekarang selain komitmen terhadap keluarga dan hal kewangan lain," katanya.

Pemandu teksi bajet ini berkata, sumber pendapatan mereka akan terhenti sekiranya teksi ditarik balik berikutan kegagalan melunaskan sewa.

Bagaimanapun apa yang difahamkan, katanya, keadaan perkhidmatan teksi di KLIA juga tidak memberangsangkan berbanding dahulu, terutama selepas kemunculan Uber/GrabCar, selain 'sesumpah' bagi perkhidmatan sama.

"Nanti ada lambakan teksi pula, sekarang ini pun saya lihat banyak teksi terpaksa menunggu giliran di KLIA untuk mengambil penumpang.

Saya berharap semua pihak terutama pihak berkuasa dapat mengambil perhatian terhadap nasib kami sebagai pemandu teksi di KLIA/KLIA2," katanya.

Sumber: mStar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com