Jutawan Bertukar Papa Kedana: Pemimpin PKR Dedah "Dikerat" Rejim Dr Mahathir


ALOR SETAR - Pilihan untuk bersama kem Dato' Seri Anwar Ibrahim telah menjadi titik tolak kepada Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul, telah bertukar status dari seorang jutawan kepada peniaga pasar malam yang papa kedana.

Kata beliau yang menjadi proksi kepada beberapa pemimpin besar negara di dalam perniagaan di waktu itu, nasibnya berubah apabila "dikerat" oleh pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memecat Anwar dari semua jawatan dalam kerajaan dan UMNO.

"Kembali dari England, saya menceburkan diri dalam perniagaan dan waktu itu Tun Daim (Zainuddin) ialah di antara orang powerful (berkuasa) kat Malaysia, dan Tun Daim membangunkan Langkawi.

"Saya terlibat dalam sama-sama membangunkan Langkawi. Waktu itulah saya masuk UMNO," katanya menceritakan detik awal kegemilangan beliau menyertai UMNO yang ketika itu dipimpin oleh Dr Mahathir.

Kata Johari, ekoran hubungan baiknya dengan ahli politik UMNO di zaman Mahathir itu, beliau menjadi seorang ahli perniagaan yang berstatus jutawan dan memiliki sebuah kilang gula-gula yang agak besar di Pulau Pinang.

"Apabila pertembungan di antara Dr Mahathir dengan Anwar Ibrahim terjadi, waktu itu saya bukan saja seorang ahli perniagaan tetapi juga memegang beberapa jawatan penting dalam UMNO dan perniagaan mewakili proksi beberapa pemimpin besar negara.

"Maknanya kalau disebut sebagai milionaire (jutawan) waktu itu, maka milionairelah," katanya, mengaku menjadi salah seorang proksi pemimpin tertentu di era Dr Mahathir berkuasa.

Walau bagaimanapun, Johari tidak menamakan pemimpin besar negara yang melantik beliau sebagai proksi ketika itu.

Beliau kemudian memutuskan untuk menyebelahi Anwar setelah menerima pandangan dari ahli keluarganya dan menyertai Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk menubuhkan Keadilan Nasional (kini Parti Keadilan Rakyat - PKR).

Namun kata Johari, akibat dari keputusan politik tersebut telah menyebabkan beliau telah "dicantas" oleh kepimpinan kerajaan yang diterajui Dr Mahathir, sekaligus menukar statusnya kepada peniaga pasar malam selama dua tahun.

"Tetapi harus ingat, sebaik saja saya menyertai parti Keadilan Nasional waktu itu, pihak pemerintah (yang diketuai oleh Dr Mahathir ketika itu) terus mengambil tindakan untuk 'kerat' saya dalam perniagaan.

"Bermulalah saya sebagai seorang yang amat susah dan menjual di pasar malam untuk dua tahun.. berniaga di pasar malam dan sebagainya," ujar Johari, menceritakan tentang gaya kepimpinan Mahathir yang dimomokkan dengan gelaran "Maha Zalim" di waktu tersebut.

Selain "Maha Zalim", Dr Mahathir juga turut dilabel sebagai "Maha Firaun" di kalangan aktivis PKR di zaman Reformasi, menyaksikan penentangan dan demonstrasi terbesar yang berterusan terhadap kerajaan dalam sejarah politik negara.

Bekas Perdana Menteri itu juga dituduh mengamalkan nepotisme, kronisme dan pelbagai skandal lain termasuk skandal pertukaran matawang asing (Forex), Perwaja Steel, Bank Bumiputera dan Maminco-Makuwasa.

Wujud juga dakwaan yang mengatakan Dr Mahathir menggunakan Petronas sebagai "bank" untuk menyelamatkan banyak bank dan syarikat tertentu yang dikatakan milik anak Perdana Menteri paling lama berkuasa itu.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dibuktikan semua dakwaan yang dilaung-laungkan pemimpin pembangkang ketika itu terhadap Dr Mahathir. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com