Jika TMJ Sedia Jadi Presiden FAM, Baginda Wajar Disokong - Annuar Musa


KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim perlu disokong dan diberi peluang untuk menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berpandangan adalah elok jika Tunku Ismail dapat membuat ketetapan muktamad mengenai perkara itu.

“Saya fikir elok Tunku Mahkota Johor buat ketetapan muktamad sama ada bersedia dipilih atau tidak sebagai presiden FAM. Sekiranya bersedia baginda harus disokong dan diberi peluang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Annuar berkata demikian kerana tidak bersetuju dengan cadangan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat menjadi Presiden FAM, manakala Tunku Ismail menjadi Penasihat atau Penaung FAM.

Kata beliau. sekiranya gabungan persatuan bola sepak menyokong maka Tunku Ismail perlu dipilih sebagai Presiden FAM tanpa proxi yang akan memburukkan lagi pentadbiran FAM.

Tegas beliu, Presiden FAM mesti mengambil tanggungjawab penuh dengan mandat daripada kongres, bukan daripada pihak lain tanpa mengira siapa mereka.

Lagipun, kata beliau, FAM mempunyai penaung seumur hidup yang tidak mencampuri langsung pentadbiran FAM dan wajib mematuhi statut sedia ada.

“Jika tidak FAM perlu memilih secara bebas seorang presiden yang benar-benar bersedia, mampu dan sanggup mentadbir FAM tanpa dipengaruhi sesiapa,” katanya. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com