Jenazah Legenda Lagu Melayu Klasik SM Salim Selamat Dikebumikan


KUALA LUMPUR -Jenazah penyanyi legenda tanah air, Allahyarham Tan Sri SM Salim, 88, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang di sini pada 2.45 petang, semalam.

Terdahulu, jenazah Allahyarham yang berada di kediamannya di Ukay Perdana di sini telah dibawa ke Masjid Kampung Baru di sini untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.

Kira-kira 1,000 orang terdiri daripada anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan hadir di masjid serta di tanah perkuburan.

SM Salim atau nama sebenarnya, Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros meninggal dunia di kediamannya akibat sakit tua pada 5.45 petang kelmarin setelah kritikal sejak awal pagi Rabu.

Allahyarham meninggalkan isteri Puan Sri Aishah Mohd Ghani dan tujuh anak.

Menurut anak sulung penyanyi itu, Siti Noraishah, 60, pihak keluarga berharap agar masyarakat dapat mengingati bapanya sebagai seorang yang berjasa kepada industri seni tanah air terutamanya dalam perjuangannya mempromosikan lagu-lagu Melayu klasik.

“Kenanglah abah sebagai seorang pejuang seni sejati, abah menyanyi bukan kerana duit tetapi beliau menggangap kerja seni itu sebagai terapi buat dirinya.

“Beliau pernah meluahkan perasaan risaunya terhadap generasi muda yang kurang berminat dengan lagu-lagu asli, beliau mahu genre lagu ini terus hidup walaupun apabila ketiadaannya,” katanya kepada Bernama.

Anak keenam Allahyarham Shamsul, 51, pula berkata bapanya tidak menggalakkan anak dan cucunya mengikuti jejaknya menceburi bidang seni.

Jelasnya bintang irama klasik itu tidak mahu anak-anaknya meneruskan legasi dalam dunia nyanyian kerana cabaran dan pahit-maung ditanggung Allahyarham semasa memasuki dunia hiburan yang pernah dilaluinya dahulu.

“Abah tidak mahu mana-mana ahli keluarganya mengikuti jejaknya kerana bagi beliau pengalaman bergelar insan seni bukan mudah untuk ditempoh oleh sesiapa pun.

“Kami semua boleh menyanyi dengan baik, mungkin mewarisi bakat daripada beliau sendiri namum kami tidak menjadikan bakat seni itu sebagai satu sumber pendapatan untuk bergantung hidup,” kata Shamsul.

Allahyarham memulakan kariernya sebagai penyanyi sejak 1957 dan merupakan penyanyi lagu-lagu Melayu klasik.

Biduan negara itu lumpuh akibat sakit saraf dan terpaksa menggunakan kerusi roda sejak 17 tahun lepas. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com