Jangan Asyik Selfie, Tiada Lagi Masa Rehat – Puteri UMNO


KUALA LUMPUR – Usah asyik berswafoto atau ‘selfie’ kerana masa untuk berehat sudah hampir tiada memandangkan pilihan raya umum (PRU) ke-14 (PRU14) semakin hampir.

Demikian ingatan Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin kepada anggota pergerakan itu tentang keperluan untuk bersiap siaga bagi menghadapi pilihan raya umum itu.

Menerusi 222 kawasan Parlimen dengan begitu banyak kerusi Dewan Undangan Negeri, pusat daerah mengundi dan lokaliti, Mas Ermieyati pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam, mengingatkan tentang tanggungjawab besar yang perlu digalas sayap UMNO itu.

“Cuba bayangkan betapa besarnya kawasan yang menuntut kita bekerja dengan bersungguh-sungguh. Masa yang tinggal untuk kita sangat sedikit. Kita tidak boleh menggoyang kaki lagi, kita mesti bersedia menggerakkan jentera pilihan raya dan memastikan Unit Khas Pilihan Raya Puteri mula bekerja,” katanya.

Katanya beliau telah memaklumkan kepada Unit Khas Pilihan Raya Puteri tentang keperluan turun padang ke lokaliti khususnya yang mempunyai hampir 80,000 pengundi bagi mengenal pasti kecederungan pemilih.

“Apakah mereka masih lagi menyokong kita dan berdiri teguh di belakang kita? Apakah sebenarnya mereka telah goyah atau beralih arah?” katanya.

Mas Ermieyati berkata beliau akan turut mencadangkan supaya sekurang-kurangnya 30 peratus orang muda dicalonkan pada PRU14 dan beliau telah berbincang dengan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin untuk bersama-sama memperjuangkan cadangan tersebut.

“Satu kajian menunjukkan faktor calon menyumbang kepada 60 peratus kepada kemenangan dalam PRU. Selari dengan kajian tersebut, calon muda yang akan membawa nama parti juga mestilah berasaskan calon yang disukai ramai dan berkredibiliti.

“Dalam masa yang sama, calon-calon muda yang akan bertanding itu nanti juga harus diletakkan di kawasan yang sesuai dengan kecenderungan orang muda dan bukannya di kawasan yang mempunyai peluang kemenangan yang rendah,” katanya.

Katanya keutamaan calon Puteri dan Pemuda ialah bagi kawasan yang mempunyai komposisi pengundi muda yang tinggi kerana dengan cara itu bukan sahaja ia mampu membawa imej peremajaan parti malah menghantar isyarat jelas bahawa parti memahami kehendak dan aspirasi golongan muda. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com