#Islam: Persepsi Konon Anbiya' Kemaruk Doa?


SUKA bermanja dengan Allah! Itulah perkataan paling sesuai menggambarkan sikap para nabi. Sikap ini sewajibnya dicontohi semua manusia kerana para nabi adalah ikutan yang wajib dijadikan panduan sebagaimana firman Allah:
“Mereka (para nabi) itulah, orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka; katakanlah: “Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya,” (al-An’am [6:90]).
Tambahan pula Allah berulang kali mengarahkan kita agar meminta daripada-Nya:
“Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian daripada kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) bagi orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi orang perempuan pula ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan ‘pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnia-Nya.’ Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan segala sesuatu,” (al-Nisa’ [4:32]).
Dalam ayat lain, secara lebih tegas Allah menyebut betapa manusia yang tidak mahu meminta kepada-Nya adalah manusia sombong yang bakal dihumban ke neraka dalam keadaan hina:
“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina,” (Ghafir [40:60]).
Sungguh! Doa adalah lambang kehambaan yang sebenar! Setelah memahami prinsip ini maka kita tidak akan berasa hairan jika melihat para nabi memang sangat kemaruk berdoa.

Banyak sekali ayat al-Quran yang menyebut para nabi sentiasa berdoa sedangkan tanpa doa sekalipun Allah akan mencukupkan keperluan mereka. Dalam nota kali ini saya utarakan sifat kemaruk berdoa yang dimiliki oleh Nabi Ibrahim dan Ismail a.s. dalam peristiwa pembinaan Kaabah:

1. Berdoa sebelum memulakan aktiviti pembinaan Kaabah:
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “wahai Tuhanku! jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat antara mereka. Allah berfirman: (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga dia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali,” (al-Baqarah [2:126]).
2. Doa ketika meletakkan batu asas Kaabah:
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama Nabi Ismail meninggikan binaan asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil kedua-duanya berdoa dengan berkata: “wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui; (al-Baqarah [2:127]).
3. Mengisi masa pembinaan Kaabah dengan berbagai doa yang hebat merangkumi doa penyerahan diri secara mutlak kepada Allah, doa agar mendapat panduan ibadat yang betul daripada-Nya, doa taubat dan doa kelahiran seorang rasul bagi penduduk Mekah suatu hari nanti:
“Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani; wahai Tuhan kami! utuslah kepada mereka seorang rasul daripada kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat (firman-Mu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (daripada syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana,” (al-Baqarah [2:128-129]).
4. Berdoa agar Mekah dianugerahi keamanan berterusan dan keturunan baginda selamat daripada musibah penyembahan berhala:
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Mekah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anakku daripada perbuatan menyembah berhala,” (Ibrahim [14:35]).
Jika Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s.yang sangat istimewa lagi dekat dengan Allah pun kemaruk berdoa kepada Allah dalam setiap gerak langkah mereka, maka kita semua sebagai insan yang serba kekurangan pastinya jauh lebih wajib berdoa kepada Allah.

Ayuhlah kita semua mengikut sunah para nabi ini agar turut menjadi ahli kelab mereka di dunia dan di akhirat kelak. Insya-Allah!

Sumber: Utusan

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com