"Funniest Person In The World" Menghadap Sultan Johor


JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menerima menghadap pelawak terkemuka tanah air, Harith Iskander pada Isnin ekoran kejayaan pelakon dan pengacara itu dalam pertandingan Funniest Person In The World pada 8 Disember lalu.

Berdasarkan kenyataan dalam laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim, Harith yang ditemani isterinya, Dr Jezamine Lim, tiba di Istana Pasir Pelangi, di sini, tengah hari Isnin untuk menghadap Sultan Johor dan Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dalam laman sosial itu, Harith turut membawa trofi kemenangan beliau dan mengambil peluang bergambar bersama Sultan Ibrahim sambil ditemani Jezamine dan Tunku Ismail.

Harith kemudiannya meluahkan rasa terima kasih kepada Sultan Ibrahim dan Tunku Ismail menerusi kenyataan dalam laman sosial Instagram.

"Tuanku dan TMJ meluangkan masa untuk berbual dengan kami dan turut berkenan menjemput kami duduk makan bersama.

"Sebagai Anak Johor, semestinya detik ini merupakan paling membanggakan dalam hidup saya setakat ini. Daulat Tuanku," kata Harith.

Sebelum ini, Harith mengeluarkan kenyataan untuk memberi penghormatan kepada peminatnya dari Johor selepas mencatat kejayaan di Finland.

Dalam pertandingan yang berlangsung di Hullu Poro Arena, Levi, Finland itu, Harith mengetepikan pencabar terdekatnya, Alex Calleja dari Filipina apabila meraih 3.8 juta undian menerusi persembahan terakhirnya, selain menghampakan tiga peserta lain iaitu Katerina Vrana dari Greece, Mino van Nassau (India) dan David Kilimnick (Israel).

Kemenangan itu melayakkan Harith membawa pulang hadiah wang tunai RM440,000 dan berpeluang mengadakan siri jelajah di Amerika Syarikat (AS).

Sumber: mStar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com