Fitnah Di Media Sosial: Puteri Tidak Teragak-Agak Ambil Tindakan


KUALA LUMPUR - Pergerakan Puteri UMNO Malaysia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pengguna yang menyalahguna media sosial dengan penyebaran fitnah dan tohmahan jahat kepada rakyat di negara ini.

Pengerusi Biro ICT Pergerakan itu, Datuk Norsabrina Mohd Noor menegaskan bahawa pihaknya telah pun bertindak sebelum ini melibatkan beberapa kes

"Kita buat sendiri laporan-laporan itu kepada SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), laporan polis, audit forensik dan sebagainya. Kita dah ada kes-kes rujukan sebelum ini.

"Kita dah ada kes yang merujuk kepada pembuat-pembuat fitnah ini. Kita tak mahu rakyat dan kita sendiri terus menjadi mangsa jenayah-jenayah di media sosial ini," tegas beliau ketika ditemubual Kedahnews.com di Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO Malaysia 2016 di sini, semalam.

Jelas beliau, Puteri UMNO telah menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa dan perundangan berhubung masalah penyalahgunaan media sosial tersebut menerusi program-program yang diperkenal sebelum ini seperti Cyber Clinic dan Cyber Security Malaysia.

Norsabrina berkata, bagi menangani budaya negatif di media sosial tersebut beliau telah mula memberi kesedaran kepada rakyat di Kedah dan bakal diperluaskan lagi ke seluruh negara dalam tempoh terdekat.

"Kita nak bentuk penggunaan media sosial yang betul, yang sihat, yang dibenarkan undang-undang, yang mengikut akta dan peraturan, khususnya di kalangan ahli Puteri UMNO di seluruh negara," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Norsabrina turut mengulas mengenai persediaan Biro ICT Puteri UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dijangka bakal berlangsung tidak lama lagi.

"Untuk PRU ke-14, kita ada unit UKP (Unit Kerja Pilihan Raya), di bawah unit ini Ketua Puteri kita menggariskan tiga skuad melibatkan skuad ICT dan siber, yang kedua skuad Puteri Peduli dan ketiga skuad Penerangan.

"Jadi ketiga-tiga skuad ini menjadi gerakan utama kami ke arah PRU ke-14.

"Dari sudut ICT, kami terbahagi kepada dua yang melibatkan sistem yang akan kami gunakan untuk pilihan raya dan yang keduanya adalah untuk media sosial," jelasnya.

Kata beliau, pasukan media sosial Puteri UMNO bertanggungjawab untuk menjawab segala tohmahan tidak benar yang dilemparkan terhadap UMNO dan kerajaan, memberikan maklumat-maklumat yang tepat dan mempertahankan parti berasaskan kebenaran.

"Banyak sangat fitnah-fitnah yang kita lihat di media siber. Kita perlu lakukan sesuatu. Kita tak mahu pasukan siber kita bergaduh sesama sendiri, sebaliknya kita perlu pastikan kita mampu menghadapi dakyah pembangkang menjelang PRU ke-14 nanti," katanya. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com