Ekspo Milan: Matrade Selar Muhyiddin Berbohong


KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyelar Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana sanggup berbohong kepada umum mengenai Ekspo Dunia Milan 2015.

Matrade dalam satu kenyataan semalam menegaskan dakwaan Muhyiddin kononnya gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa diturunkan dalam ekspo tersebut tidak berlaku seperti yang diperkatakan.

“Semua pihak yang terlibat dalam Malaysia Pavilion sewaktu ekspo tersebut telah mengesahkan dakwaan Muhyiddin itu tidak berasas.

“Kami kesal dengan percubaannya untuk menjejaskan profesionalisme dan kecekapan pegawai yang terlibat dalam pengurusan ekspo tersebut,” kata kenyataan itu semalam.

Muhyiddin sewaktu berucap dalam satu majlis anjuran parti barunya mendakwa kononnya gambar Perdana Menteri terpaksa diturunkan di Ekspo Dunia Milan 2015 kerana memalukan negara.

Matrade selanjutnya menjelaskan, Malaysia Pavilion dalam Ekspo Dunia Milan 2015 yang mempunyai gambar Najib mendapat penyertaan seramai 3.1 juta pengunjung yang menjana kewangan Euro 960,000.

“Malaysia Pavilion merupakan salah satu pavilion yang paling kerap dilawati di ekspo tersebut disebabkan oleh penganjurannya yang cemerlang,” kata kenyataan itu. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com