Duta Rusia Ditembak Mati Dalam Galeri Ankara, Turki


ANKARA - Duta Rusia ke Turki ditembak mati dari arah belakang ketika menyampaikan ucapan di sebuah galeri seni Ankara pada Isnin oleh seorang pegawai polis yang tidak bertugas.

Penyerang menjerit "jangan lupa Aleppo" dan melaungkan "Allahuakbar" sebelum melepaskan tembakan.

Kementerian Luar Rusia mengesahkan kematian duta Andrei Karlov dan menyifatkan ia sebagai "perbuatan keganasan".

Hubungan antara Moscow dan Ankara telah lama tegang berhubung konflik di Syria.

Penyerang dilihat berdiri di belakang duta Rusia, Andrei Karlov. -foto AP
Russia adalah sekutu Presiden Syria, Bashar al-Assad dan serangannya membantu tentera Syria di utara bandar Aleppo minggu lalu.

Datuk Bandar Ankara berkata di Twitter bahawa lelaki bersenjata itu adalah seorang pegawai polis.

Dua sumber keselamatan memberitahu Reuters bahawa penyerang tidak bertugas pada masa itu.

Menurut saksi, penyerang berpakaian kemas dalam sut hitam dan bertali leher berdiri seorang diri di belakang mangsa yang ketika itu sedang menyampaikan ucapan.

"Dia mengeluarkan pistol dan menembak duta dari belakang. Kami nampak mangsa terbaring di atas lantai dan kemudian kami melarikan diri," kata saksi itu yang enggan dikenali.

Wajah penyerang yang dirakamkan jurufoto AP.
Orang ramai kemudian bersembunyi di dalam bilik bersebelahan ketika tembakan terus kedengaran.

Satu rakaman video menunjukkan penyerang menjerit: "jangan lupa Aleppo, jangan lupa Syria" dan "Allahuakbar (Allah Maha Besar).

Seorang jurukamera Reuters di tempat kejadian berkata tembakan kedengaran untuk beberapa tempoh masa selepas serangan berlaku.

Agensi berita Turki, Anadolu berkata lelaki bersenjata itu telah dibunuh.

Sumber: mStar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com