Dua Beradik "Kantoi", Gagal Loloskan Diri Di Kuala Muda

Empat lagi suspek yang turut ditahan AADK.
SUNGAI PETANI - Lapan individu termasuk pasangan adik beradik ditahan Unit Penguatkuasaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ketika melakukan serbuan di beberapa lokasi sekitar Kuala Muda, di sini, baru-baru ini.

Operasi Aduan kali ini melibatkan beberapa kawasan tumpuan iaitu Kampung Rendang, Kampung Sungai Deraka, Kampung Masjid, Taman Semarak dan Taman Ria Mesra.

Pengarah AADK negeri, Mohammad Nazer Mustafa berkata, operasi dilakukan dengan kekuatan lima anggota diketuai Norzarenawati Osman.

Menurutnya, dalam serbuan di Kampung Rendang Padang Temusu, AADK menahan empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia antara 23 hingga 43 tahun di dalam sebuah rumah.

Katanya, berdasarkan intipan dilakukan, AADK mendapati mereka berkumpul setiap hari di rumah terbabit bagi tujuan menagih dadah.

“Tangkapan turut melibatkan pasangan adik beradik berasal dari Bukit Mertajam. Ketika serbuan, suspek kelihatan terkejut dengan kehadiran anggota penguat kuasa, tetapi mereka gagal meloloskan diri melalui pintu belakang rumah.

"Mereka kemudian dibawa ke Pejabat AADK Kuala Muda untuk tindakan lanjut. Hasil saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan opiat. Mereka akan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983,” katanya.

Dalam serbuan berasingan di Kampung Tikam Batu dan Kota Kuala Muda, AADK menahan empat lagi lelaki termasuk remaja berusia 17 tahun, yang baru berjinak dengan dadah jenis syabu dan sering memberontak.

Katanya, melalui soal siasat, remaja terbabit mengaku mula mengenali dadah sejak berada di tingkatan empat di sebuah sekolah swasta.

“Serbuan di Kampung Sungai Deraka, Kota Kuala Muda berjaya menahan dua individu, sementara seorang lagi ditahan di Kampung Masjid, Tikam Batu. Serbuan lain di sebuah rumah di Taman Seri Bayu, Bedong dan Rumah Lot Taman Semarak, Sungai Petani,” katanya.

Menurut Mohammad Nazer, AADK akan menggerakkan operasi dari masa ke masa selaras usaha memerangi dadah habis-habisan.

“Tangkapan ini dapat mengurangkan permintaan dadah, seiring dengan usaha berterusan polis bagi menangkap pengedar dadah yang menjadi dalang wujud penagih baru,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com