Dua Beradik Cedera Ditetak Semasa Bantu Jiran Disamun


MARAN – Dua beradik cedera ditetak semasa membantu jiran mereka yang dirompak enam suspek bersenjatakan parang di Jengka 11 di sini, awal pagi semalam.

Pada kejadian kira-kira 4 pagi itu, Fauzi Dollah, 42, dan adiknya Kamaruzzaman, 26, cuba membantu selepas menyedari kehadiran sekumpulan individu yang cuba memotong dan membuka tingkap rumah jiran mereka.

Kamaruzzaman berkata abangnya sempat menghubungi polis sebelum mereka berdua menunggu di belakang rumah mangsa Husin Misban, 70, dengan niat mahu menghalang perompak itu melarikan diri.

“Kami dengar mereka seperti bergegas untuk keluar dan sebaik sahaja pintu dibuka, mereka merempuh abang. Abang dapat menangkap seorang daripada mereka dan dia minta ampun dan rayu dilepaskan.

“Bagaimanapun, dua daripada perompak itu kemudiannya berpatah balik untuk menyelamatkan rakan mereka dan menyerang abang. Keadaan begitu pantas dan kemudiannya kami dengar polis melepaskan tiga das tembakan ke udara,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Kamaruzzaman berkata dia cedera di tangan dan menerima lima jahitan manakala abangnya dikejarkan ke Hospital Temerloh akibat ditetak di kepala dan kakak iparnya Salasiah Ahmad, 41, memaklumkan Fauzi perlu menjalani pembedahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran DSP Mat Rizal Mat Radzi berkata keluarga mangsa rompakan itu mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM30,000 selepas disamun lima telefon bimbit, barangan kemas dan wang tunai RM1,500.

“Gerakan mencari suspek sedang dilakukan dan mereka dipercayai melarikan diri menerusi laluan belakang rumah yang menghala ke arah ladang kelapa sawit,” katanya.

Beliau mengesahkan dua beradik yang merupakan jiran mangsa itu mengalami kecederaan di muka, kepala, bahu dan tangan akibat ditetak perompak.

Katanya semasa kejadian, mangsa berada di rumah bersama-sama isteri, dua orang cucu berusia tiga tahun dan setahun serta seorang pengasuh berumur 22 tahun, namun mereka tidak mengalami kecederaan. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com