Dituduh Belanja RM15.3 Juta, Pelajar Malaysia Mengaku Tak Bersalah

SYDNEY - Seorang pelajar Malaysia yang dituduh berbelanja AUS$4.6 juta (RM15.3 juta) untuk membeli barangan mewah selepas bank tersilap memasukkan overdraf tanpa had ke dalam akaunnya, mengaku tidak bersalah.

Christine Jiaxin Lee, 21, tiba di Mahkamah Downing Centre di Sydney pada Selasa.

Peguamnya, Hugo Aston berkata pihaknya akan mempertahankan Christine yang dituduh bersikap tidak jujur dan mengambil kesempatan terhadap kesilapan yang dilakukan bank terbabit.

"Kami yakin anak guam kami akan dibebaskan," kata Hugo.

Menurut Hugo, keluarga Christine berada di Sydney selepas tiba dari Malaysia untuk memberi sokongan moral kepadanya sepanjang perbicaraan.

Bagaimanapun, mereka tidak hadir di mahkamah pada Selasa.

Matt Tregoning, wakil Wastpac Banking Corporation, bank yang tersilap memasukkan overdraf ke dalam akaun Christine, hadir sebagai pemerhati.

Christine ditahan Mei lalu oleh pegawai imigresen di lapangan terbang Sydney ketika cuba menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia.


Pelajar kejuruteraan kimia itu diberikan overdraf tanpa had akibat kesilapan Westpac pada 2012.

Dia didakwa menyedari mengenai overdraf itu pada Julai 2014 sebelum berbelanja mewah selama 11 bulan berikutnya.

Christine dikatakan pernah menghabiskan AU220,000 sehari dengan membeli-belah di sebuah kedai barangan mewah, Christian Dior di Sydney.

Pada April tahun lalu, seorang pengurus kanan Westpac menyedari kesilapan itu dan menelefon Christine, mendesak dia bertanggungjawab terhadap kehilangan jutaan dolar itu.

Christine sebelum ini mendakwa, dia menyangka wang itu dimasukkan oleh ibu bapanya.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com