Dihina "Makan Dedak", Ini Jawapan Dari Presiden PAS


SHAH ALAM - PAS tidak melatah mengenai persepsi songsang dibina secara berterusan oleh lawan adalah kononnya parti itu telah tidak lagi berminat untuk menukar kerajaan BN termasuklah dituduh menerima 'dedak' tertentu.

Menegaskan perkara itu, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS tidak melatah di atas persepsi karut sedemikian, apatah lagi melayan provokasi pelampau media sosial dan parti lawan yang saban waktu memesongkan berita mengenai parti itu.

"PAS akan tetap terus memperjuangkan prinsip keadilan untuk semua kaum, menentang rasuah dan salah guna kuasa serta penyelewengan dalam kerajaan BN, dengan pendekatan politik matang dan sejahtera," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara mengulas mengenai pendekatan politik PAS kini, Hadi berkata, PAS bersikap terbuka, berhati-hati dan mengambil pengalaman lalu dalam menentukan sikap politiknya terutama isu tahaluf dan kerjasama kepartian, namun PAS akan sentiasa tegas dalam prinsip.

Jelasnya, matlamat PAS terlibat dalam politik adalah untuk membawa mesej menyelamatkan manusia dengan Islam sebagai cara hidup yang tidak memisahkan dunia dengan agama, di mana perkara dasar dan prinsip PAS adalah tetap manakala cara perubahan dilakukan pula boleh berbagai selagi mengikut panduan al-Quran dan as-Sunnah.

Katanya lagi, pada masa yang sama PAS juga menolak sebarang perkiraan dan percaturan politik yang merugikan masa depan Islam dan ummatnya.

"PAS sedang mengkaji dengan mendalam setiap satu persatu kerusi dalam seluruh senarai Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di negara kita.

"Keputusan di kawasan mana PAS bertanding, sama ada dua penjuru, tiga penjuru atau lebih, siapa dan bagaimana akan bertanding adalah akan mengikut maklumat kajian dan analisanya, pertimbangan keperluan dan kekuatan jentera PAS di setiap kedudukan kawasan pilihanraya berkenaan," katanya.

Dalam masa yang sama katanya, PAS tidak tertakluk pada mana-mana pihak yang telah membuat sebarang perjanjian pilihanraya pada masa ini dan juga tidak dipengaruhi oleh tekanan mana-mana pihak dalam membuat keputusan politiknya.

Oleh itu ujarnya, PAS akan hanya membuat keputusan apabila tiba masanya yang sesuai.

"PAS akan tetap terus berpegang dengan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS sebelum ini bahawa tiada sebarang kerjasama dalam apa jua bentuk dengan parti DAP dan PAN, dan mana-mana pihak yang bersikap keras terhadap Islam.

"Di masa yang sama PAS sedia berbincang dengan mana-mana pihak yang menghormati dasar perjuangan PAS. Inilah penyelesaian kita," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com