CEO Ayam Hijrah Dedah Pernah Diugut Bunuh


SUNGAI PETANI - Pengalaman sedih anaknya penghidap kanser darah yang terlalu teringin mahu makan ayam mencetus idea untuknya terlibat dalam industri pemprosesan ayam.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Hajar Hijrah Sdn Bhd, Dr Siti Hajar Ghazali, 39, berkata, anak sulungnya itu terlalu mahu makan ayam yang juga makanan kegemarannya.

"Sedih tak tertanggung bila terkenang peristiwa itu.

"Walaupun sakit, kami sebagai ibu bapa tak sanggup nak tengok apatah lagi bila dia merengek dan terpaksa merelakan dia menikmati hidangan itu sekali sekala," katanya.

Beliau pada peringkat permulaan hairan kenapa ayam yang dimakan anaknya menjadi ‘racun’ sehinggalah arwah terlebih dahulu dijemput Ilahi pada 19 Oktober 2006.

Menurutnya, walaupun takdir yang menentukan segalanya, namun dia mula mengkaji apa yang menjadi punca dan kesan negatif akibat dari makan ayam yang tidak diproses dengan baik sedangkan ia mempunyai khasiat tersendiri.

"Hasil dari kajian itu tercetusnya idea menghasilkan Ayam Hijrah (AH) pada September 2012," katanya.

Ikut syarak

Siti Hajar berkata, apa yang diaplikasikan dalam penghasilan AH menjadikan produknya lebih terjamin mutu kebersihan, unik, penyembelihan menepati syarak, siap dipotong dan dicuci yang ternyata membantu insan yang sedang dalam pantang atau pesakit yang mengalami alahan ayam.

“Kami mengamalkan penyembelihan ikut syarak, pisau dibasuh setiap kali selepas sembelihan, mengadap kiblat, tanpa kejutan elektrik, air celuran melebihi dua kolah dan air sentiasa mengalir semasa proses mencuci.

“Kesannya ayam tidak hanyir, lebih tahan lama, makanan lambat basi dan kenyal seperti ayam kampung. Selain itu, ia juga membantu dan memudahkan wanita berkerjaya menyediakan masakan di rumah tanpa memerlukan proses yang panjang untuk mencuci dan memotong,” katanya.

Pernah diugut bunuh

Walau bagaimanapun, dalam keghairahan memajukan perniagaan, Siti Hajar pernah diugut bunuh, diekori di pejabat dan rumah, poster gambarnya diedarkan dengan cat merah dan ditampal di merata-rata gara-gara tersilap langkah memilih rakan kongsi yang kononnya ingin melabur dalam perniagaan.

“Namun, malangnya wang yang dilaburkan hanyalah bersifat sementara apabila saya diugut memulangkan dalam tempoh singkat sekiranya tidak mahu diancam keselamatan diri dan keluarga.

“Setiap hari hidup kami dibelenggu ketakutan akibat kehadiran gengster yang meminta wang dengan cara kekerasan sehinggakan pernah terlintas mahu menutup kilang ketika itu," katanya.

Akhirnya, ALLAH membuka jalan apabila dia berpatah balik kepada matlamat asal ingin menyediakan ayam yang terjamin suci dan halal kepada umat Islam selain tidak henti-henti berdoa dan buat bacaan Yasin agar hati mereka dilembutkan.

“Hasil kesabaran dan perbincangan, mereka bersetuju untuk menerima cadangan kami agar membayar secara ansuran sehinggalah selesai tanpa sebarang faedah,” katanya.

Mula berhati-hati

Beliau berkata, pengajaran yang diperoleh ialah jangan mudah mempercayai mana-mana pihak tidak dikenali yang pada mulanya ingin menawarkan modal perniagaan bagi membantu umat Islam, namun akhirnya apabila wang ratusan ribu ringgit dilaburkan, mereka mahu dapatkan kembali dalam masa singkat termasuk faedah pinjaman yang tidak masuk akal.

“Sejak hari itu, saya mula berhati-hati kerana gerak-geri sentiasa diperhatikan, termasuklah apabila membuat sesuatu keputusan melibatkan perniagaan,” katanya.

Tambahnya, walaupun pernah diugut dan diancam keselamatan, dia akan tetap meneruskan hasrat mengembangkan perniagaan tersebut kerana bukan sekadar mahu mengaut untung semata-mata sebaliknya menyelesaikan masalah ayam yang status halal diragui.

“Walaupun masih belum mampu memenuhi permintaan pasaran yang tinggi secara sepenuhnya, namun sekurang-kurangnya saya telah menyumbang sedikit tenaga untuk atasi masalah pelanggan yang tak yakin dengan status halal ayam di pasaran," katanya.

Dalam masa sama, pihaknya bersedia memberikan tawaran harga istimewa kepada mana-mana pusat tahfiz dan sekolah agama yang mendapatkan bekalan AH di kilang memproses yang terletak Kawasan Perindustrian Kuala Ketil serta mengalu-alukan lebih ramai mana-mana pusat pendidikan agama untuk menikmati tawaran berkenaan.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com