Britain, NATO Dituduh Dalang Pembunuhan Duta Rusia Ke Turki

Duta Rusia ke Turki, Andrei Karlov terbaring selepas ditembak oleh anggota polis Turki, Mevlut Mert Altintas di sebuah galeri seni di Ankara pada 19 Disember 2016. - REUTERS
MOSCOW - Britain dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) diheret sama dalam kes pembunuhan Duta Rusia ke Turki pada Isnin selepas kedua-dua pihak itu didakwa sebagai pihak yang bertanggungjawab atas insiden terbabit.

Mangsa, Andrey Karlov dibunuh oleh polis Tukri, Mevlut Mert Altintas, 22, dalam kejadian yang disifatkan Rusia sebagai tindakan keganasan.

Namun pemimpin kumpulan ultranasionalis Rusia, Vladimir Zhirinovsky mempersalahkan Britain atas kejadian tragis itu dengan dakwaan insiden itu bertujuan menghalang lawatan akan datang Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan ke Moscow untuk mengukuhkan hubungan dengan Presiden Vladimir Putin.

"Blok Barat cuba mencetuskan perbalahan antara kita (Turki dan Rusia). Semua konflik didalangi oleh Britain.

"Insiden tersebut dilakukan dengan sengaja bagi menjejaskan lawatan Erdogan. Kini lawatan itu pasti akan ditangguhkan," katanya.

Sementara itu, Senator Rusia, Frantz Klintsevich yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertahanan dan Keselamatan Rusia, menuding jari kepada NATO ekoran pembunuhan Karlov.

"Mungkin kejadian itu didalangi Daesh atau pemberontak Kurdis yang cuba menggugat kedudukan Erdogan.

"Tetapi kemungkinan besar wujud gerakan daripada perkhidmatan rahsia NATO dalam insiden berkenaan.

"Tragedi yang berlaku merupakan satu provokasi jelas dan cabaran besar kepada Rusia," katanya.

Dalam kejadian terbabit, Karlov, 62, ditembak sebanyak sembilan das oleh Mevlut ketika beliau sedang menyampaikan ucapan pada satu majlis pameran seni di Ankara.

Mevlut kemudiaan ditembak mati oleh pihak berkuasa Turki dan polis turut menahan ibu serta kakak suspek untuk membantu siasatan.

Sumber: mStar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com