"Bagan Datuk" Ejaan Baru Ganti Bagan Datoh Mulai 9 Januari 2017


IPOH – Ejaan baharu bagi Bagan Datoh di Perak iaitu ‘Bagan Datuk’ akan mula diguna semasa pengisytiharan rasmi daerah baharu itu oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada 9 Januari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata ia diputuskan dalam persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 22 November lalu.

“Sehubungan itu, jabatan dan agensi kerajaan perlu mengguna pakai ejaan baharu tersebut dalam pengurusan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Menurut Abdul Puhat, pengisytiharan bersejarah itu akan dilakukan di Dewan Sekolah Menengah Sains dekat Bagan Datoh dengan jangkaan kehadiran kira-kira 15,000 penduduk daerah itu.

Bagan Datoh secara rasmi diwartakan sebagai daerah pentadbiran yang ke-12 di Perak melalui satu warta kerajaan pada 15 Jun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2016 di sini Julai lalu mengumumkan Bagan Datoh dinaik taraf sebagai daerah penuh, hasil persetujuan bersama antara kerajaan negeri dengan persekutuan. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com