Anak Tunggal Pasangan Maut Dalam Kebakaran Di Sg Petani

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk dibedah siasat.
SUNGAI PETANI - Anak kepada pengusaha kedai runcit ditemui maut ketika gagal menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran dekat rumah kedai yang turut dijadikan tempat tidurnya lebih kurang jam 6.20 pagi kelmarin.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nor Hafizah Muhammad Lukman berkata, ketika ditemui, mangsa masih memegang paip air dipercayai untuk menyejukkan badan.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kira-kira jam 6.27 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian sejurus kemudian.

“Seramai 14 anggota serta dua pegawai bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani dikejarkan ke lokasi bagi memadam kebakaran," katanya.

Nor Hafizah berkata, laporan awal Komander Operasi memaklumkan, kebakaran melibatkan ruang belakang rumah kedai dua tingkat di tingkat bawah.

“Semasa pemeriksaan mendapati terdapat seorang mangsa tidak sedarkan diri berada di dalam tandas di mana tangannya masih memegang paip air.

"Tindakan pemadaman secara ofensif dilakukan manakala mangsa yang dikeluarkan disahkan pasukan perubatan sudah pun meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa mengesahkan kematian.

Mangsa, Mohd Shahril Azwan Abdullah, 29, merupakan anak tunggal pasangan Jamilah Johari, 54, dan Abdullah Ahmad, 57, dilaporkan menjadikan bahagian belakang yang disambung stor dan bilik di rumah kedai berkenaan sebagai tempat tidur.

Jamilah berkata, kali terakhir anak kesayangan mereka itu pulang ke rumah ialah pada Ahad lalu, namun lebih kerap berada di kedai berbanding rumah mereka di Gurun memandangkan tugasnya perlu menjaga kedai dan hanya balik seminggu sekali.

"Waktu kejadian saya sedang bersiap nak ke tempat kerja sebagai tukang cuci sekolah dan lepas dapat panggilan, saya terus datang ke sini," katanya.

Abdullah pula berkata, rutin paginya menyiapkan kerja-kerja di kebun cili terlebih dahulu sebelum ke kedai membantu Mohd Shahril kira-kira jam 11.

"Lepas ini saya taknak berniaga lagi sebab anak dah tak ada," katanya.

Difahamkan, mangsa baru sahaja mengusahakan kedai runcit itu setahun lalu yang disewa dari pemilik asal sebelum pernah bekerja di ibu negara sejak beberapa tahun lalu dan  berpindah kerana mahu dekat dengan keluarga.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com