Anak Mangsa Kemalangan Di Pendang Masih Di ICU


ALOR SETAR – Seorang anak pasangan guru yang maut di Alor Punti, Pendang, malam Sabtu masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas menjalani pembedahan pada bahagian abdomen petang kelmarin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata pembedahan itu dilakukan selepas mangsa yang berumur 11 tahun mengalami perdarahan pada bahagian limpa akibat kemalangan terbabit.

Katanya, mangsa juga masih tidak sedarkan diri dan diberi bantuan alat pernafasan, namun keadaannya stabil.

“Kesemua lima beradik yang menerima rawatan ini mengalami kecederaan di beberapa bahagian tubuh badan.

“Empat daripadanya dalam keadaan sedar dan stabil,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Dr. Norhizan berkata adik-beradik itu juga kini di bawah pengawasan rapi pakar perubatan.

Dalam kejadian 11.30 malam, 17 Dis, pasangan suami isteri tersebut Mohd Padzil Rashid, 50, dan isterinya, Masmiwaza Mohd Noor, 42, masing-masing merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang dan SMK Tobiar, maut selepas MPV dinaiki mereka terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler di Kampung Alor Punti, Pendang.

Kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Titi Haji Idris menghala ke rumah mereka di Taman Setia, Pendang yang terletak kira-kira lima kilometer.

Tragedi itu turut mengakibatkan lima anak mereka iaitu, Maisarah, 14, Masyitah, 12; pasangan kembar iaitu Muhammad Asyraf dan Muhammad Akmal, 11; dan Munirah, 6, cedera parah. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com