Yu Paus Ditemui Tersangkut Dalam Pukat Nelayan Di Melaka


MELAKA – Seekor yu paus spesis ‘Rhincodon Typus‘ seberat kira-kira satu tan ditemui tersangkut dalam pukat hanyut seorang nelayan di kawasan laut berhampiran muara Sungai Duyong di sini.

Pengarah Jabatan Perikanan Melaka, Mohd. Ghazali A. Manap berkata haiwan spesis diklasifikasikan sebagai terancam sepanjang 20 kaki itu, ditarik nelayan terlibat yang hanya dikenali sebagai Mahat ke muara sungai tersebut kira-kira 11 pagi Rabu.

“Nelayan berkenaan kemudian membawa ikan yu paus tersebut ke muara sungai kerana sukar melepaskannya dalam keadaan laut bergelora sebelum melaporkan kepada Jabatan Perikanan.

“Yu paus ini memang terdapat di perairan kita dan kemungkinan tersangkut pada pukat hanyut nelayan ketika sedang mencari makan iaitu udang kecil yang banyak di kawasan berhampiran,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata pegawainya yang tiba di lokasi mendapati haiwan mamalia itu mengalami sedikit kecederaan di bahagian ekor dan berada dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’.

Katanya haiwan yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 itu kemudian dilepaskan kira-kira satu batu nautika dari muara sungai berkenaan berhampiran Pulau Undan pada 12.15 tengah hari Rabu.

Mohd. Ghazali berkata operasi melepaskan haiwan berkenaan dengan menariknya menggunakan tali yang mengambil masa kira-kira 30 minit itu dibantu nelayan serta anggota polis.

Beliau berkata tindakan nelayan berusia 51 tahun berkenaan amat dipuji kerana ia dapat membantu menyelamatkan hidupan terancam seperti ikan yu paus.

“Kita berharap nelayan lain agar membuat tindakan sama dengan melaporkan kepada Jabatan Perikanan sekiranya mereka tertangkap atau ada haiwan spesis terancam tersangkut pada pukat atau jaring mereka,” katanya. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com