Wira "White Helmets" Rempuh Bahaya Demi Nyawa


Sebelum perang, sebahagian mereka adalah pelajar. Ada pula yang bekerja, termasuk sebagai pembuat roti.

Kini, penyelamat sukarela yang dikenali sebagai White Helmets itu sanggup mendedahkan diri mereka kepada bahaya, mencari dan mengeluarkan mangsa dari runtuhan bangunan.

Rakaman menunjukkan keberanian kira-kira 3,000 sukarelawan itu sering viral di media sosial, mendapat pujian dari seluruh dunia.


Gambar keadaan selepas pengeboman di kawasan yang dikuasai kumpulan penentang rejim Bashar al-Assad kerap menunjukkan anggota White Helmets itu meluru ke tempat kejadian tanpa menghiraukan awan debu, menyelongkar runtuhan dengan tangan kosong, untuk mencari mangsa yang mungkin terselamat.

Antara rakaman paling terkenal ialah usaha menyelamat Mahmud, bayi dua bulan yang digelar ‘bayi ajaib’ apabila dia ditarik keluar dari celah runtuhan bangunan di Aleppo, 12 jam selepas tertimbus.

Malangnya, lelaki yang menyelamatnya, Khaled, terbunuh Ogos lalu dalam serangan udara di timur bandar itu, seorang daripada lebih 140 sukarelawan White Helmets yang mati dalam peperangan.

Dia yang sebelum ini bekerja sebagai tukang cat dan penghias, adalah antara yang awal menyertai kumpulan itu.


Dengan usianya baru 31 tahun, Khaled mati meninggalkan seorang isteri dan dua anak perempuan.

Dia pernah berkata: “Sekiranya saya mati, saya yakin termasuk dalam golongan syuhada.”

Antara satu video terbaru menunjukkan seorang sukarelawan menangis sambil menggendong bayi perempuan berusia empat bulan yang diselamatkannya di Idlib.

“Kami bekerja dua jam untuk mengeluarkan bayi ini dari celah runtuhan. Alhamdulillah, dia hidup,” kata sukarelawan itu terisak-isak.


Hujung September lalu, kumpulan itu memenangi hadiah hak asasi manusia Sweden yang sering dirujuk sebagai ‘ganti hadiah Nobel.’

Ia juga tersenarai untuk memenangi Hadiah Keamanan Nobel. Walaupun tidak memenanginya, mereka tetap disanjung dan dipuji.

Kumpulan penyelamat sukarela ini mula ditubuhkan pada 2013 apabila perang saudara Syria yang kini sudah meragut lebih 300,000 nyawa, hampir memasuki tahun ketiga.

Setahun berikutnya, ia menjadi semakin teratur dan mula dikenali sebagai ‘White Helmets’ berdasarkan topi keledar keselamatan yang dipakai anggotanya.

Moto mereka - ‘Untuk menyelamat satu nyawa ialah untuk menyelamat seluruh kemanusiaan’ - ayat daripada kitab suci al-Quran. Namun begitu, ia membantu semua mangsa, tanpa mengira agama.

Kumpulan berkenaan yang turut dianggotai 78 wanita kini beroperasi di kira-kira 120 pusat di lapan wilayah di Syria.

Semua kawasan berkenaan dikuasai kumpulan penentang kerana mereka tidak dibenarkan bergerak di wilayah yang dikuasai rejim Bashar.

Namun, White Helmets berkata, mereka tidak memihak kepada sesiapa.


“Kami bebas, berkecuali dan tidak memihak kepada sesiapa. Kami tidak ada hubungan dengan pertubuhan politik atau bersenjata.

“Kami bersedia menyelamat mangsa tanpa mengira latar belakang politik atau agama mereka,” kata pemimpinnya, Raed Saleh.


Namun, kumpulan itu tidak terlepas daripada dikecam, kebanyakannya oleh penyokong kerajaan Bashar.

Ada yang menuduh mereka boneka penderma antarabangsa dan negara yang menyokong kumpulan penentang.

Yang lain mendakwa sukarelawan kumpulan itu turut dianggotai penentang Bashar.


Tetapi di tempat lain, anggota kumpulan itu disanjung sebagai ‘wira kehidupan sebenar’ yang hanya menumpukan usaha menyelamat nyawa.

“Kami membantu mangsa. Itu tugas kami,” kata Raed. - Agensi

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com