Warga Indonesia Maut Dipijak Gajah Di Sabah

Gambar Hiasan
TAWAU - Seorang lelaki warga Indonesia maut akibat dipijak seekor gajah di kawasan ladang perkayuan Dumpas, dekat sini, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus yang mengesahkan perkara itu berkata mangsa, 48, pekerja ladang di kawasan itu, mati akibat cedera parah di kepala akibat dipijak gajah liar berkenaan.

"Satu panggilan telefon diterima kira-kira 3.22 petang memaklumkan bahawa ada mangsa mati diserang oleh gajah liar di kawasan ladang perkayuan Dumpas dekat sempadan dengan kawasan Bombalai menghala ke Kalabakan," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat. Ini merupakan kejadian kedua gajah menyerang orang awam pada bulan ini.

Pada 9 November lalu, sekitar pukul 6.15 pagi dilaporkan sepasang suami isteri warga Indonesia diserang seekor gajah liar yang tiba-tiba mengamuk di kawasan ladang perkayuan Brumas dekat Tawau.

Kedua-dua mangsa yang merupakan pekerja ladang itu dikenali sebagai Santoko Satria, 44, mengalami cedera ringan manakala isterinya Susi Sudirman, 36, cedera parah di bahagian badan, tulang rusuk serta muka selepas dipijak gajah itu. - BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com