Warga Emas Usia 63 Tahun Dicekup Positif Dadah Di Kuala Muda

Antara suspek yang ditahan oleh pihak AADK dalam operasi itu.
SUNGAI PETANI - Seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun antara 11 lelaki positif dadah yang berjaya dicekup Unit Penguatkuasaan Dan Keselamatan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda, kelmarin.

Kesemua mereka yang berusia 20 hingga 63 itu ditahan dalam operasi berkaitan aduan masyarakat di sekitar Kuala Muda sejak petang kelmarin.

Operasi itu melibatkan beberapa kawasan yang dikenal pasti menjadi tumpuan penagih dadah sama ada berkumpulan dan individu yang dipercayai terlibat dengan aktiviti tidak sihat ini.

Pengarah AADK Negeri, Mohammad Nazer Mustafa berkata, operasi yang bermula petang kelmarin dan berakhir awal pagi semalam disertai lima anggota penguat kuasa yang diketuai oleh Pegawai AADK, Norzarenawati Osman.

Menurutnya, antara kawasan yang diserbu adalah Flat Paya Nahu 2, Bandar Amanjaya, Kampung Belakang Masjid Bakar Arang, Kampung Bukit Kechil, Batu 10 Jeniang dan Kampung Batu Hampar, Merbok.

“Dalam serbuan kali ini, seorang warga emas berusia 63 tahun turut ditahan di sebuah rumah kampung, belakang Masjid Bakar Arang.

“Suspek dipercayai menjadi tumpuan penagih untuk mendapatkan bekalan dadah hasil siasatan yang dijalankan kepada beberapa orang penagih sebelum ini,” katanya.

Mohammad Nazer berkata, suspek lain ditahan di lokasi sekitar Kuala Muda.

“Kesemua mereka ditahan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

“Saringan air kencing yang dijalankan, kesemua mereka positif dadah jenis metamphetamine dan morfin akan disabitkan kesalahan di bawah seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Katanya, pihak AADK juga sudah kenal pasti dan melakukan serbuan ke atas port panas penagih yang menjadi tempat berkumpul iaitu di bahagian belakang kedai persimpangan Batu 10 Jeniang yang bergiat aktif hampir lima bulan yang lalu.

“Susulan itu, pihak AADK juga mengharapkan kerjasama semua pihak khususnya masyarakat untuk menyalurkan maklumat melalui beberapa saluran disediakan sama ada hadir sendiri ke pejabat ataupun melalui saluran interaktif di laman web AADK di www.adk.gov.my,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com