Wanita Britain Ditahan Selepas Dakwa Dirogol Sekumpulan Lelaki


Seorang pelancong wanita dari Britain keliru apabila tiba-tiba ditahan polis Dubai selepas dia membuat laporan mendakwa dirinya dirogol oleh sekumpulan lelaki dari negara asalnya ketika melancong di negara itu, baru-baru ini.

CNN melaporkan wanita tersebut ditahan atas tuduhan hubungan seks luar nikah di negara tersebut.

"Ini adalah sesuatu yang membimbangkan. Polis sering kali gagal membezakan hubungan seks yang dilakukan secara rela dan kejadian rogol.

"Mangsa membuat laporan bagi mendapatkan pembelaan sebaliknya ditahan. Polis bukan sahaja membatalkan laporan tersebut tetapi menghukum mangsa," kata pengarah kepada sebuah kumpulan penasihat undang-undang NGO, Detained In Dubai, Radha Stirling.

Stirling berkata, pelancong wanita berkenaan telah dibebaskan polis Dubai dengan ikat jamin, namun pasportnya telah dirampas pihak berkuasa.

Difahamkan bahawa jika didapati wanita tersebut melakukan hubungan seks secara rela, dia bakal berdepan hukuman penjara sebulan hingga tiga tahun dan diusir keluar dari negara Timur Tengah tersebut.

Sementara itu, jurucakap pejabat luar negara United Kingdom berkata, pihaknya tidak dapat membincangkan mengenai insiden tersebut.

"Kami menyokong kes membabitkan wanita tersebut dan akan terus berhubung dengan keluarganya mengenai kejadian ini," katanya dalam satu kenyataan balas.

Walau bagaimanapun, kerajaan dan polis Dubai enggan memberikan sebarang komen berhubung insiden berkenaan ekoran kes tersebut masih belum lagi dibicarakan di mahkamah. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com