Wajah Anak Kelahiran Kedah Terpampang Di Billboard Times Square, New York


KARIER seni penyanyi terkenal, Yuna sekali lagi terlakar sejarah indah apabila dipilih untuk menghiasi papan iklan elektronik di Times Square, New York,  sejak Selasa.

Berita gembira itu dikongsi oleh Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, 30, menerusi laman Twitternya.

Gadis kelahiran Kedah ini dipilih menghiasi skrin gergasi di Times Square selepas diangkat sebagai artis pilihan bulanan Pasaran Saham Nasdaq.

Untuk makluman, Times Square merupakan lokasi tumpuan ramai termasuk para pelancong sekiranya berkunjung ke kota terkenal itu.

“Sebelum ini, wajah kumpulan The Chainsmokers menjadi wajah pilihan untuk papan iklan berkenaan. Saya pula diundang untuk sesi fotografi oleh Nasdaq baru-baru ini dan hanya gambar yang dipaparkan di skrin terbabit, bukan video.

“Apapun, saya bersyukur kerana bakat saya diterima baik di sana walaupun baharu lima tahun mencuba nasib di negara itu,” katanya memetik BH Online.


Dalam pada itu, penyanyi  yang kini bertapak di Amerika Syarikat ini akui rezekinya  semakin bertambah di arena muzik.

Malah, Yuna yang terkenal dengan lagu Crush, berduet  bersama bintang tersohor, Usher, akui tidak risau dengan sentimen perkauman yang berlaku di negara itu selepas kemenangan Donald Trump.

“Pada mulanya saya agak takut juga ketika musim pilihan raya berlangsung, tetapi saya buat seperti biasa saja. Malah, saya pernah dicubit ketika berjalan-jalan di New York. Mungkin ia tindakan orang kurang siuman walaupun dia juga ada bercakap pasal perkauman.

“Alhamdulillah, hingga kini tiada perkara serius yang berlaku seperti apa yang dilaporkan di media sosial. Saya masih boleh bebas berjalan seperti biasa, cuma, ketika persembahan jelajah Eropah, kawalan keselamatan diperketatkan,” katanya yang tidak berhasrat mengambil pengawal peribadi. –Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com