"Virus": Perdasama Sokong Titah Sultan Johor


KUALA LUMPUR – Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) menyambut baik titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya rakyat menjauhi individu yang menghasut rakyat membenci pemimpin.

Presidennya, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, Sultan Ibrahim telah bertitah supaya rakyat menjauhi individu-individu yang menjadi ‘virus’ menghasut dan menghentam pucuk kepimpinan negara.

"Ini juga termasuk budaya demonstrasi jalanan yang bukanlah berteraskan adab sopan dan tata susila masyarakat Melayu khususnya dan masyarakat Malaysia amnya.

"Sebagai sebuah persatuan yang memperjuangkan hal-ehwal ekonomi orang Melayu, Perdasama amat menghargai keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang sungguh menitik beratkan masa depan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Sultan Johor dalam Perhimpunan Bangsa Johor baru-baru ini bertitah supaya rakyat menjauhi parti baharu yang bertujuan memecahbelahkan masyarakat demi kepentingan mereka.

Baginda turut memperingkatkan seluruh rakyatnya bahawa golongan itu sedang membawa `virus’ yang cukup berbahaya dengan memburuk-burukkan kerajaan sedia ada.

Justeru, Moehamad Izat meminta seluruh kaum Melayu supaya tidak membenarkan diri mereka menjadi boneka golongan yang kononnya negarawan atau politikus terbabit.

“Sebaliknya, mantapkanlah perpaduan kaum agar tiada lagi orang Melayu yang tertindas dari segi pembangunan sosial dan ekonomi,” katanya. –Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com