VIDEO: TMJ "Bahan" Kumpulan Baju Merah


PETALING JAYA - Aksi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam video parodi yang dimuat naik di Facebook Johor Southern Tigers pada semalam telah menarik perhatian ramai netizen.

Video berdurasi 26 saat berkenaan memaparkan sekumpulan lelaki berbaju merah sedang melakukan demonstrasi gerak langkah silat yang dilakukan pergerakan Baju Merah dalam protesnya baru-baru ini.

Seorang lelaki kelihatan yang berdiri di tengah-tengah kumpulan dalam kedudukan separa bulat dilihat menjerit sebelum seorang lelaki lain memukulnya menggunakan dua rotan.

Seorang lagi lelaki turut menghentaknya dari arah belakang menggunakan batu bata.

Babak seterusnya Video tersebut memaparkan Tunku Mahkota Johor berbaju dan bertopi biru serta memakai cermin mata hitam dengan wajah yang bengis melepaskan beberapa tembakan menggunakan pistol sebelum berpaling ke arah kamera, sambil mengangkat bahu dan beredar.

Bagaimanapun, kapsyen berhubung video yang dimuat naik memberi penjelasan bahawa TMJ sama sekali tidak berpihak kepada baju merah atau baju kuning, sebaliknya menegaskan tentang erti perpaduan yang amat penting bagi rakyat di negeri Johor.

"Saya berada bersama Bangsa Johor yang melambangkan perpaduan. Kerana perpaduan adalah 'formula' untuk negara ini bergerak ke hadapan, bukan keganasan dan kebencian.

"Senjata tidak membunuh manusia, manusia yang saling membunuh. Keganasan dan kebencian tidak akan menjadikan negara ini tempat yang lebih baik. Kekal positif. Salam penuh kasih sayang," katanya. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com