VIDEO: "Mat Don" Nakal, Bakal Kembali Sarung Jersi Hijau Kuning


ALOR SETAR - Pemain import prolifik Kedah, Liridon Krasniqi membayangkan bahawa beliau akan terus menabur bakti bersama skuad Lang Merah pada musim depan menerusi sebuah rakaman video, semalam.

Video berkenaan memaparkan Liridon berucap di depan kamera sebelum diminta seorang rakannya untuk "diam" dan menandatangani kontrak bersama pasukan Hijau Kuning itu tanpa terus berselindung di sebalik teka-teki.

"Dua hari lagi untuk saya ke Kedah.

"Assalamualaikum, jumpa lagi dalam tempoh beberapa hari... Pulun Kedah Pulun", katanya di dalam video yang disiarkan oleh laman Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA), semalam.

Nakalnya Liridon yang digelar "Mat Don" oleh penyokong Hijau Kuning ini, dia sebelum ini sengaja mengucapkan "selamat tinggal dan penghargaan" kepada seluruh rakyat Kedah, membuatkan ramai peminat yang hampa dan memintanya mempertimbang semula keputusannya itu.


Liridon dikatakan terpaksa beraksi agak tempang apabila rakan duonya yang merupakan penyerang import berbisa Kedah, Sandro Da Silva, terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan serius pada penghujung tahun lalu.

Namun begitu, Liridon yang turut disapa sebagai "Mat Don" oleh pada penyokong Hijau Kuning tetap beraksi cemerlang mengatur gerakan di bahagian tengah pasukan sehingga berjaya membawa pulang kejuaraan Piala Malaysia 2016 ke negeri jelapang padi itu.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe sebelum ini mengesahkan bahawa Sandro telah pulih sepenuhnya dari kecederaan dan berada dalam keadaan terbaik bakal kembali menyarung jersi Hijau Kuning itu pada musim ini.

Dijangka gandingan Liridon dan Sandro bakal sekali lagi menggegarkan Liga Super musim depan sekaligus memberi cabaran getir buat pasukan-pasukan elit seperti Johor Darul Takzim (JDT) dan Felda United. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com