Ustaz Kazim Masuk Hospital Sekali Lagi Akibat Keletihan


IPOH – Penceramah bebas terkenal, Datuk Mohammad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim, dimasukkan ke sebuah hospital di sini jam 8 pagi Sabtu kerana keletihan.

Pembantu beliau yang hanya ingin dikenali sebagai Anuar memberitahu media, pendakwah itu yang berusia 43 tahun, kemudian menjalani pemeriksaan biasa di hospital setelah mengadu berasa sakit.

“Ketika ini, Ustaz Kazim sedang berehat di sebuah wad biasa dan kami memohon kerjasama daripada orang ramai agar tidak pula datang melawat kerana beliau amat memerlukan rehat yang cukup,” katanya.

Pada 19 Februari lalu, Ustaz Kazim pernah mengadu sakit dada ketika berceramah di Gunong, Bachok, Kelantan, menyebabkan beliau dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Pengasas dan pengetua kepada Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi, di sini disahkan mengalami serangan jantung, namun kemudian mendapat rawatan susulan di Hospital Pakar KPJ Ipoh selama seminggu.

Ustaz Kazim dinasihatkan doktor agar berehat selama tiga bulan dan selepas itu beliau kembali aktif berceramah sama ada menerusi siaran televisyen atau jemputan pihak tertentu. – Agensi

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com