Ust Kazim Tuntut Wanita Mohon Maaf Atau Disaman RM8 Juta


PETALING JAYA - Pendakwah popular Datuk Mohammad Kazim Elias menuntut permohonan maaf daripada seorang ibu yang mendakwa sekolah tahfiznya di Ipoh terlibat dalam penderaan seksual pelajar atau membayar RM8 juta sebagai ganti rugi.

Dalam surat tuntutan bertarikh 18 November, Kazim berkata posting di Facebook yang ditulis oleh wanita berkenaan, bahawa berlakunya 'kes penderaan kanak-kanak di sekolah Maahad Tahfiz di bahagian utara' yang diketuai oleh seorang 'ustaz terkenal' - membayangkan diri dan sekolah agamanya.

Peguam Kazim menegaskan dakwaan-dakwaan ini menunjukkan bahawa anak guamnya telah menubuhkan 'sebuah pusat penderaan seksual'.

Surat tuntutan firma berkenaan menyatakan bahawa posting itu tidak benar, fitnah dan mala fide.

"Anda berniat untuk merosakkan rekod dan reputasi anak guam kami," katanya.

Tambahnya, posting itu juga membayangkan bahawa anak guamnya adalah seorang pedofilia dan telah menggunakan madrasah sebagai alat untuk menarik kanak-kanak dan melakukan salah lalu seksual terhadap mereka.

"Posting ini juga membayangkan bahawa anak guam kami telah mengancam keluarga dan cuba untuk berselindung menggunakan pengaruh politiknya," katanya.

Mengesahkan perkara ini kepada The Star Online pada Selasa, peguam Firdaus Mohamood berkata surat tuntutan telah diserahkan sendiri kepada wanita itu pada Isnin dan beliau mempunyai tujuh hari untuk membuat keputusan.

Kazim sebelum ini telah menafikan dakwaan penderaan seksual melibatkan sekolah tahfiz miliknya, Pusat Pendidikan Al-Barakah dan beberapa laporan polis telah dibuat.

Dilaporkan, ibu bapa seorang pelajar mendakwa bahawa anak mereka telah didera secara seksual oleh pelajar lain dan dakwaan itu tersebar luas di media sosial.

Polis telah mengambil keterangan daripada 10 individu termasuk para pelajar dan kakitangan.

Perkara itu pertama kali mendapat perhatian apabila aktivis sosial Syed Azmi Alhabshi dan selebriti TV Wardina Safiyyah berkongsi posting tersebut di laman Facebook mereka, mendakwa penderaan seksual berlaku di sebuah sekolah agama.

Walau bagaimanapun, mereka tidak menyatakan nama sekolah itu atau mendedahkan individu yang mengetuainya.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com