Usah Hirau Mahathir, Tumpu Pada Parti Dan Rakyat - "Otai" UMNO


ALOR SETAR - UMNO sepatutnya memberi tumpuan kepada pengukuhan parti, jati diri perjuangan dan memantapkan segala jentera sebagai persiapan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, bukan terus melayan kerenah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Veteran UMNO, Mohd Hadzir Jaafar berkata, tidak perlu hairan pada tindakan Dr Mahathir yang kini berseteru dengan UMNO, sedangkan hakikatnya rakyat dapat menilai segala jasa bakti yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak merdeka hingga kini.

Tegas Mohd Hadzir yang lebih mesra disapa dengan panggilan "Cikgu Det" itu, perselisihan faham yang membawa kepada serang-menyerang di kalangan pemimpin politik adalah asam garam di dalam dunia politik yang tidak perlu terlalu difikirkan.

"Ada paderi yang masuk Islam, ada tok sami yang masuk Islam, apa kita nak hairan?

"Tapi kalau satu masa dia rasa tak bagus, dia rasa tak bagus.. Orang kahwin pun bercerai, anak dah 5-6. Kadang-kadang dia bercerai pun dia tak kahwin lain, tapi ada yang kahwin lain.

"Ada yang kahwin lain, dan dia kata bini lama dia tak bagus. Tapi kalau kata dia tak bagus, kenapa selama ini kita boleh duduk (dengan dia)? Mungkin kita ada perbezaan pendapat, lidah dengan gigi pun boleh tergigit jugak," katanya kepada Kedahnews.com.

Cikgu Det memberi contoh tentang kisah pertelingkahan Dr Mahathir dengan beberapa pemimpin politik seperti bekas Perdana Menteri seperti Allahyarham Tunku Abdul Rahman, dan tokoh politik lain seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebagainya.

Mengulas mengenai gerakan Dr Mahathir yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, veteran UMNO Bahagian Sik itu menegaskan bahawa bekas Perdana Menteri itu perlu dapatkan majoriti kerusi parlimen untuk berbuat demikian.

"Kita sistem kita guna sistem Westminster, bukan Republik. Dia nak jatuhkan (Datuk Seri) Najib, maknanya dia kena jatuhkan lebih dari setengah (penyandang) kerusi parlimen, barulah Najib jatuh," katanya yang juga merupakan bekas Adun Jeneri itu.

Walau bagaimanapun, Cikgu Det berpandangan bahawa tindak-tanduk Dr Mahathir sejak akhir-akhir ini mirip kebudak-budakan namun beliau menegaskan bekas Perdana Menteri itu bebas itu melakukan apa saja selagi tidak menyalahi undang-undang negara.

"Dr Mahathir dia nak marah, dia marahlah.

"Kadang-kadang bila dia tua macam saya, dia jadi macam budak-budak balik. Dia menyebai dia ambil dia baling sana dia baling sini, macam saya la.. saya 75 umur, tapi kadang-kadang kita menyebai macam budak-budak.

"Bila kita menyebai ni, ada pulak kawan dok cucuk dok kata..

"Bagi saya senang, Dr Mahathir nak buat apa, dia buat. Ini adalah negara bebas. Tapi saya dan kawan-kawan lain, kita tetap UMNO," katanya lagi.

Cikgu Det turut menjelaskan bahawa beliau terbuka pada perubahan Dr Mahathir yang kini mahu memusnahkan UMNO yang sebelum ini lebih 22 tahun banyak berjasa padanya mendaki takhta politik tanahair dan kekal berkuasa dalam tempoh yang paling lama dalam sejarah.

"Saya tak kata dia pengkhianat, sebab ini adalah negara yang bebas. Dia nak buat apa, dia buatlah. Tapi kita dan kawan-kawan semua akan terus berjuang bersama UMNO.

"Jika tidak kerana UMNO, dia pun tak jadi Perdana Menteri dulu.. so what the big deal? No big deal," kata "orang lama" parti keramat bangsa itu.

Beliau turut akui bahawa tindakan bekas Perdana Menteri itu mampu memberikan sedikit kesan pada UMNO, namun beliau yakin bahawa ia tidak akan bertahan lama ekoran kedudukan UMNO yang teguh dan terbukti stabil memberikan khidmat terbaik kepada rakyat selama ini.

"Dia buat apa pun memang ada kesan. Cuma, sama ada kesan itu berkekalan atau sementara.

"Kalau kita marah kat orang tu, itu hanya sementara. Tapi kalau kawan itu sampai, dia minta maaf, kita kata okey. Dia dah minta maaf, jadi macam tu sajalah," ujar beliau.

Adun Jeneri itu dijemput berucap membahaskan usul di pentas Konvensyen UMNO Kedah di Sungai Petani pada Sabtu lalu, turut menegur para pemimpin supaya tidak merajuk apabila tidak terpilih untuk menjawat jawatan tertentu.

Bersulamkan kiasan penuh bermakna dengan kisah-kisah lama yang wajar dijadikan iktibar, Cikgu Det menggamatkan dewan dengan teguran mesra dan melucukan para pemimpin serta lebih 1,000 perwakilan di depan beliau. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com